Kerencatan representasi politik wanita pasca PRN15


USAI piliha raya negeri (PRN) ke-15 yang berakhir pada 12 Ogos 2023 lepas, menyaksikan status quo keenam-enam negeri dikekalkan dengan Perikatan Nasional (PN) mempertahankan Kedah, Terengganu dan Kelantan, manakala Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) pula kekal menjadi kerajaan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Sungguhpun begitu, apa yang jelas dapat dilihat selepas mendapat mandat untuk mentadbir keenam-enam negeri tersebut, kedua-dua gabungan parti politik iaitu PN dan PH-BN seolah-olah tidak lagi mengutamakan agenda pemerkasaan wanita di dalam kepimpinan apabila jumlah exco wanita yang dilantik di dalam kerajaan negeri semakin merosot.

Kerajaan Negeri Sembilan tampak lebih prihatin dengan melantik tiga (3) exco wanita sekaligus menjadikan negeri tersebut mempunyai representasi wanita terbanyak jika dibandingkan dengan negeri lain yang mengadakan PRN pada 12 Ogos lalu.

Kedah dan Selangor melantik dua (2) exco wanita, manakala bagi Pulau Pinang dan Kelantan masing-masing melantik hanya satu (1) exco wanita bagi pentadbiran kali ini.

Paling menyedihkan adalah di Terengganu yang mana bukan sahaja tiada wanita dilantik sebagai exco, tetapi juga portfolio kebajikan & pembangunan wanita di negeri tersebut diserahkan kepada seorang Adun lelaki.

Sedangkan pada PRN kali ini, PH yang menyapu bersih keseluruhan kerusi di negeri tersebut mempunyai seorang Adun wanita tunggal iaitu Zuraida Md Noor yang memenangi kerusi DUN Ladang.

Beliau hanya diberikan tanggungjawab sebagai timbalan pengerusi (timbalan exco) Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional sahaja.

Selain itu, Selangor yang sebelum ini dianggap sebagai sebuah negeri paling progresif dengan 50% daripada keseluruhan Adun adalah dari kalangan pemimpin wanita, turut menampakkan penurunan dari aspek representasi wanita dalam posisi kepimpinan dan pembuat keputusan di negeri tersebut.

Jumlah Adun wanita Selangor pasca PRN-15 yang semakin berkurangan secara tuntasnya dilihat berpunca daripada pelbagai faktor, antaranya kegagalan parti-parti bertanding untuk meletakkan calon wanita di kerusi boleh menang (winnable seats).

Melihat secara keseluruhan senario ini, kita khuatir, perjuangan pemberdayaan kepimpinan wanita di negara ini akan terus menjadi lesu sekiranya kita sebagai sebuah masyarakat tidak lagi mengangkat kepimpinan wanita sebagai agenda yang lebih serius.

Pada PRN yang lepas, kita melihat 71 calon wanita yang bertanding, namun yang menang hanya 24 orang sahaja. Dari segi peratusan, wanita yang menang hanya 33% daripada keseluruhan yang bertanding.

Pada tahun 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kita melihat peningkatan yang signifikan dalam representasi wanita di kalangan menteri persekutuan, exco negeri dan juga wakil-wakil rakyat.

Namun begitu, hanya dalam tempoh 5 tahun sahaja, penurunan mendadak berlaku yang mana bukan sahaja jumlah 30% perwakilan wanita yang dimahukan tidak tercapai, malah kita telah mengorak langkah terkebelakang dengan pengurangan lagi wakil wanita di peringkat pembuat keputusan dan kepimpinan.

Golongan wanita di negara ini perlu diwakili dengan seimbang dan dengan jumlah yang semakin merosot ini akan meningkatkan lagi jurang yang boleh merencatkan pembangunan dan kebajikan wanita secara umum.

Saya amat berharap, para pemimpin wanita Malaysia dapat bersatu tanpa mengira idologi dan fahaman politik bagi memperkasakan semula agenda pemberdayaan wanita di negara kita.

Penyatuan dan kesefahaman antara semua pemimpin wanita perlu dicapai bagi memastikan usaha kita untuk meningkatkan lagi representasi wanita di dalam kepimpinan negara dan negeri dapat dipenuhi, sekaligus dapat mengimbangi pemusatan kuasa yang sedang dipegang oleh para pemimpin lelaki.

Untuk menjadi sebuah negara yang progresif, keseimbangan ini adalah amat perlu diperolehi agar nasib golongan wanita di negara ini akan terus terbela. – 27 Ogos, 2023.

* Zuraida Kamaruddin, presiden Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen