PRESIDEN Majlis Kebangsaan Niger untuk Perlindungan Tanah Air (CNSP) Abdourahamane Tchiani mengumumkan proses peralihan tiga tahun dalam ucapan yang disiarkan pada Sabtu, lapor Xinhua.
“Semua pasukan aktif di Niger akan dijemput dalam tempoh tiga puluh hari, untuk merumuskan kedudukan konkrit yang akan membawa kepada penentuan prinsip asas untuk mengawal peralihan kita, dan untuk menentukan keutamaan peralihan, yang tempohnya tidak boleh melebihi tiga tahun,” kata Tchiani.
Beliau menyatakan bahawa junta telah diarahkan untuk mengambil langkah segera bagi penganjuran dialog berkenaan.
Sambil menggesa semua pasukan aktif di negara itu untuk terlibat dalam dialog nasional dan inklusif, beliau berkata tujuan dialog itu “adalah untuk berunding dengan semua komponen rakyat Niger mengenai cara terbaik untuk mewujudkan asas perintah perlembagaan baru”.
Abdorahahamane Tchiani, bekas komander pengawal presiden Niger, mengisytiharkan dirinya sebagai ketua kerajaan peralihan bulan lalu selepas Presiden Mohamed Bazoum digulingkan dalam rampasan kuasa tentera.
Sementara itu di Abuja, satu delegasi dari Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat (ECOWAS) pada Sabtu bertemu Tchiani dan Bazoum, kata jurucakap presiden Nigeria.
Utusan khas ECOWAS ke Niger telah kembali ke ibu negara Niger, Niamey, untuk meneruskan dialog mereka dengan pemimpin junta tentera Niger, Abdulaziz Abdulaziz, kata seorang pembantu media kepada presiden Nigeria pada platform media sosial pada petang Sabtu.
Pada awal Ogos, delegasi yang terdiri daripada anggota dari ECOWAS, Kesatuan Afrika dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu gagal memasuki Niamey untuk bertemu junta tentera, menurut Suruhanjaya ECOWAS.
Pada 10 Ogos, ECOWAS memutuskan untuk mengaktifkan pasukannya sebagai tindak balas kepada rampasan kuasa di Niger sambil menekankan komitmen berterusannya untuk memulihkan ketenteraman perlembagaan di negara itu melalui cara yang aman. – Bernama, 21 Ogos 2023.
Komen