SEKURANG-kurangnya 80 orang maut apabila kebakaran hutan Hawaii mula merebak ke sebuah bandar.
Lebih 2,200 struktur telah rosak atau musnah dalam kebakaran di Lahaina, kata Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA), menyebabkan kerosakan AS$5.5 bilion dan beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.
Pihak berkuasa Hawaii berkata mereka sedang membuka siasatan terhadap pengendalian kebakaran kerana seorang anggota kongres dari negeri itu mengakui bahawa pegawai telah memandang rendah bahaya itu, dan penduduk berkata tiada sebarang amaran diberikan pihak berkuasa.
“Gunung di belakang kami terbakar dan tiada siapa memberitahu kami,” kata Vilma Reed, 63.
“Kamu tahu bila kami sedar ada kebakaran? Apabila ia berada di seberang jalan dari kami.”
Reed, yang rumahnya musnah akibat kebakaran, berkata mereka telah melarikan diri dengan apa yang mereka ada di dalam kereta mereka, dan kini bergantung pada pemberian dan bantuan orang yang tidak dikenali.
“Ini rumah saya sekarang,” katanya sambil menunjukkan kereta yang menjadi tempat tinggal bersama anak perempuan, cucunya dan dua ekor kucing peliharaan.
Sementara itu seorang lagi penduduk Anthony Garcia memberitahu AFP bagaimana api telah memusnahkan pangsapurinya.
“Ia mengambil segala-galanya, segala-galanya! Ia menyayat hati,” kata lelaki berusia 80 tahun itu.
Pekan yang mempunyai lebih 12,000 penduduk, yang pernah menjadi rumah kebanggaan keluarga diraja Hawaii, telah musnah, hotel dan restorannya yang meriah bertukar menjadi abu.– AFP, 13 Ogos, 2023.
Komen