LETUSAN lahar setinggi 60 meter dilepaskan ke udara dari Mauna Loa Hawaii, kata ahli geologi, menghasilkan sungai lava dari gunung berapi aktif terbesar di dunia.
Empat rekahan kini terbuka di gunung raksasa itu, yang meletus pada Ahad buat kali pertama dalam tempoh hampir 40 tahun.
Awan wap dan asap yang besar berkepul ke langit dari gunung berapi, yang membentuk separuh daripada Pulau Besar Hawaii.
“Anggaran ketinggian letusan lahar adalah antara 100–200 kaki,” tetapi kebanyakannya jauh lebih kecil, kata Pusat Badan Pemantau Geologi Amerika Syarikat (USGS) dalam kemas kininya pada Isnin.
“Terdapat kepulan gas yang boleh dilihat daripada rekahan gunung yang mengeluarkan lahar, dengan yang ditiup angin ke arah barat laut.”
Ahli geologi berkata pada masa ini tiada risiko kepada manusia dan harta benda berhampiran.
“Aliran lahar terpanjang dan terbesar dikeluarkan dari rekahan tiga,” kata USGS pada Selasa.
Letusan lahar daripada rekahan terbaharu adalah sehingga 33 kaki tinggi, kata agensi itu.
Semua lahar berada di Zon Rekahan Timur Laut, kata USGS, tetapi memberi amaran Mauna Loa ialah gunung berapi yang dinamik.
“Rekahan tambahan boleh berlaku di sepanjang Zon Rekahan Timur Laut di bawah lokasi semasa, dan aliran lahar mungkin terus bergerak ke bawah cerun.”
Tekanan meningkat di Mauna Loa selama bertahun-tahun, kata USGS, dan letusan dapat dilihat 72 kilometer jauhnya, di bandar pantai barat Kona.
Walaupun lahar pada masa ini tidak menimbulkan risiko kepada populasi, saintis berkata angin boleh membawa gas gunung berapi dan abu halus ke bawah.
Pihak berkuasa di Hawaii tidak mengeluarkan sebarang arahan pemindahan, walaupun kawasan puncak dan beberapa jalan di wilayah itu ditutup, dan dua pusat perlindungan dibuka sebagai langkah berjaga-jaga.
Gunung berapi terbesar di bumi mengikut volum, Mauna Loa, yang bermaksud “Gunung Panjang,” adalah lebih besar berbanding gabungan pulau Hawaii yang lain.
Satu daripada enam gunung berapi aktif di kepulauan Hawaii, Mauna Loa meletus sebanyak 33 kali sejak 1843.
Letusan terakhirnya, pada 1984, berlangsung selama 22 hari dan menghasilkan aliran lahar sejauh kira-kira empat batu dari Hilo.
Kilauea, gunung berapi di sebelah tenggara Mauna Loa, meletus hampir berterusan antara 1983 dan 2019, dan letusan kecil di sana berterusan selama berbulan-bulan. – AFP, 30 November, 2022.
Komen