Pakatan-BN hilang undi Melayu, Perikatan gagal raih sokongan bukan Melayu, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

PERUBAHAN undi Melayu yang berterusan, terutama di kerusi DUN utara Selangor, membantu Perikatan Nasional (PN) menang lebih besar di negeri itu, menafikan majoriti dua pertiga Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN), kata penganalisis.

Namun PN gagal memberi impak yang besar di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, kecuali memenangi semua kerusi di bawah Parlimen Permatang Pauh, mengambil alih kerusi Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya daripada bekas kubu kuat Anwar Ibrahim yang tewas kepada PAS pada PRU15.

Pakatan PH-BN yang tercalar memenangi majoriti dua pertiga di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, namun dilenyapkan oleh PN di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata keputusan undian pada Sabtu itu adalah isyarat jelas untuk kerajaan perpaduan memberi lebih perhatian kepada orang Melayu di Selangor.

Beliau berkata pentadbiran Anwar Ibrahim perlu mendekatkan diri dengan rakyat di Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk membendung kehilangan undi Melayu pada masa hadapan.

Namun, Hisommudin berkata PN tidak boleh terlalu gembira dengan prestasinya kerana gabungan itu tidak mendapat banyak sokongan bukan Melayu.

“Kami meramalkan undi Melayu akan pergi ke PN dan keputusan menunjukkan kami betul. PN memenangi lebih banyak kerusi Melayu di Selangor.

“Kerajaan kini mesti memberi perhatian kepada pengundi Melayu dan jurang antara orang Melayu dan bukan Melayu dari segi corak pengundian semakin melebar.

“Kerajaan persekutuan juga mesti melayan negeri PN dengan berhati-hati dan memberi keutamaan kepada mereka atau berisiko kehilangan lebih banyak sokongan orang Melayu.

“PN sebaliknya tidak boleh hanya bergantung kepada sokongan Melayu untuk memenangi pilihan raya,” kata Hisommudin.

Mengenai prestasi PH-BN di utara, Hisomuddin berkata mereka tersalah strategi kempen.

“Mereka hampir kehilangan setiap kerusi. Mereka perlu melihat lebih dalam apa yang tidak kena di sana.”

Hisommudin juga berkata terdapat undi protes dalam kalangan ahli Umno.

“Mereka tidak peduli untuk keluar mengundi. Berita baiknya ialah mereka tidak keluar, bukannya mengundi PN,” katanya.

Dr Azmi Hassan dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara turut senada dengan Hisommudin.

Bagaimanapun katanya, kajian mendalam perlu dilakukan untuk melihat bagaimana kedua-dua BN dan PH saling membantu dalam pilihan raya negeri untuk memahami corak pengundian.

“Status quo dalam pilihan raya negeri kecuali PN menunjukkan prestasi yang baik di Selangor. Lebih ramai pembangkang di Selangor sekarang berbanding Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Tetapi saya rasa, BN memang membuat sedikit kemajuan di Terengganu dalam jumlah undi walaupun tidak memenangi sebarang kerusi.

“Apa yang jelas undi Melayu beralih kepada PN,” katanya.

Undi protes dari BN kepada PN

Sementara itu ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali percaya undi protes telah menyebabkan BN kehilangan banyak kerusi tradisi Melayunya kepada PN.

Tetapi, Mazlan berkata walaupun kalah, PH-BN menyaksikan peningkatan jumlah undi di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Berdasarkan tinjauan saya sebelum ini, kira-kira 20-30% ahli Umno akan mengundi PN dan keputusan malam ini menunjukkan PN memenangi kerusi di kawasan Melayu.

“PH-BN pasti akan bermati-matian selepas ini untuk memenangi semula kerusi mereka di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Saya tidak fikir Anwar Ibrahim akan berdiam diri dan membenarkan perkara ini berterusan.

“Terdapat peningkatan dalam jumlah undi berbanding PRU lalu, jika tidak kerana kepenatan politik, keputusannya akan berbeza,” katanya.

Salah Umno

Bagi pengarah program Iman Research, Badrul Hisyam Ismail, peralihan undi Melayu kepada PN adalah disebabkan rasa tidak puas hati orang Melayu terhadap Umno.

Beliau berkata Umno, parti peneraju dalam Barisan Nasional, tidak lagi disenangi orang Melayu terutamanya selepas pilihan raya umum 2018.

“BN tidak perform, maksud saya Umno. Mereka kehilangan semua kerusi di Terengganu. Malah PKR tidak melakukannya dengan baik. Kecuali DAP.

“Trend ini telah berlaku sejak 2018 dan PH mempunyai bagasi untuk dibawa sekarang.

“Orang sudah tidak suka Umno. PH boleh menang kerusi di Kelantan, Kedah dan Terengganu jika mereka pergi solo.

“PH perlu memikirkan semula kerjasama mereka dengan BN.

“Zahid (Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi) akan menghadapi tekanan yang hebat sekarang,” kata Badrul Hisyam. – 13 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen