Hutang negara tak beri kesan pada ekonomi, kata pakar


Angie Tan

Penganalisis melihat hutang negara masih dalam keadaan terkawal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2023.

RAKYAT Malaysia tidak perlu panik dengan angka hutang negara yang mencecahRM1.5 trilion ekoran ia tidak ada impak kepada prestasi ekonomi, kata pakar.

Wong Chin Yoong dari Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) berkata walaupun hutang negara pertama kali didedahkan pada 2018, ia langsung tidak memberi impak kepada prestasi ekonomi.

“Tiada benda baharu dalam isu hutang negara yang tinggi ini,” kata Wong kepada The Malaysian Insight.

Kata Wong, rakyat boleh melihat apa yang dilakukan institusi pelaburan apabila berita berkaitan hutang negara yang tinggi disiarkan.

“Kita nampak mereka risau? Kita nampak mereka menjual saham, bon atau stok melalui penjualan panik?,” katanya.

Malah katanya ketika skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meletup dan kebimbangan tersebar yang mungkin mencetuskan ketidaktentuan terhadap bon berkaitan 1MDB, pasaran bon tidak bertindak balas.

“Jadi secara mudahnya, jika institusi pelaburan tidak bimbang dengan hutang negata yang tinggi dan tidak ada jualan panik, maka tiada yang perlu dibimbangkan,” katanya.

Wong berkata alasan pelabur tidak bimbang kerana undang-undang menyebut semua dana untuk perbelanjaan pentadbiran atau pembangunan mesti diperoleh daripada cukai bukan daripada sebarang instrumen hutang.

Beliau turut menjelaskan hutang negara tinggi susulan kerajaan menyerap hutang yang dihapuskan semasa pandemik untuk memulihkan ekonomi.

“Pelabur sedar langkah itu sementara. Tiada siapa fikir ia akan beri kesan buruk berpanjangan terhadap keupayaan negara membayar balik hutang,” katanya.

Kata Wong memandangkan 97% hutang negara dalam ringgit dan merupakan hutang jangka sederhana hingga jangka panjang – lebih 10 tahun – tiada kemungkinan ia bakal mencetuskan krisis hutang.

“Tak akan ada kesan. Takan akan ada impak pada ekonomi,” katanya.

Tambahnya, kemudaratan terhadap ekonomi negara bukan daripada hutaang itu tetapi daripada persepsi yang salah terhadap hutang hingga membawa kepada langkah penjimatan yang tidak perlu.

“Buat masa ini, tiada langkah drastik yang boleh dilihat daripada kerajaan dalam usaha untuk mengurangkan hutang,” katanya.

Namun Wong berkata semua pihak perlu memantau bagaimana dasar fiskal kerajaan mengendalikan hutang tersebut.

Katanya jika berlaku pemotongan besar-besaran dalam perbelanjaan kerajaan untuk mengurangkan hutang, maka ia akan memberi impak kepada ekonomi.

Sementara penganalisis ekonomi Koong Lin Loong berkata siling hutang negara semasa yang mencecah 65% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  itu ‘masih dalam had yang boleh diterima’.

Dewan Rakyat sebelum ini menaikkan had statutori hutang negara kepada 65 peratus pada Oktober 2021 yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2022 lalu dan kini kembali kepada had asal 60%.

Sebagai perbandingan Koong berkata hutang Jepun melebihi 100% daripada KDNK mereka.

“Ada negara lain yang dalam keadaan sama dan mereka tidak ada masalah langsung. Apa yang penting perbaiki prestasi ekonomi negara untuk hasil yang mampan,” katanya.

Malah kata Koong jika hutang negara mencecah 70% sekali pun ia masih tiada masalah.

Pada 17 Januari lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan hutang negara termasuk liabiliti mencecah RM1.5 trilion dan ia perlu ditangani segera.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata hutang negara sudah melebihi 80% daripada KDNK yang memberi kesan kepada unjuran ekonomi semasa.

Malah beliau turut menggesa pimpinan kanan di sektor awam untuk keluar dari zon selesa untuk melihat dan menerima keadaan sebenar yang sedang negara hadapi. – 6 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen