SERANGAN dron berhampiran sempadan dengan Turki lewat Jumaat membunuh empat anggota Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diketuai Kurdish, kata pentadbiran autonomi Kurdish di timur laut Syria
Turki melakukan serangan dron berterusan di kawasan yang dikawal oleh pentadbiran Kurdish di Syria, dan telah meningkatkan serangannya dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
SDF yang disokong AS mengetuai pertempuran mengusir kumpulan Negara Islam dari sisa wilayah terakhir yang mereka kuasai di Syria pada 2019.
Ankara menganggap Unit Perlindungan Rakyat (YPG), yang mendominasi SDF, sebagai cabang daripada Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan, ditetapkan sebagai kumpulan pengganas oleh Turki dan sekutu Baratnya.
Pemantau perang yang berpangkalan di Britain, Syrian Observatory for Human Rights, berkata dron itu menyerang kem latihan di wilayah Hasakeh, membunuh empat anggota SDF dan mencederakan lapan yang lain.
Menurutnya ia adalah serangan kedua oleh dron Turki di Hasakeh dalam tempoh 24 jam, selepas serangan pada Khamis membunuh tiga pejuang SDF apabila ia menyasarkan kenderaan mereka berhampiran sempadan.
Pada 20 Jun, serangan dron Turki membunuh tiga pekerja pentadbiran autonomi Kurdish.
Sejak awal tahun, serangan dron Turki telah membunuh 48 orang di kawasan yang dikuasai Kurdish, termasuk 10 orang awam dan 35 anggota SDF atau pejuang bersekutu, menurut angka Observatory. – AFP, 29 Julai, 2023.
Komen