TENTERA khas Amerika Syarikat (AS) telah membunuh 13 orang di barat laut Syria dalam usaha memburu pemberontak kanan yang didakwa Pentagon sebagai operasi yang “berjaya”.
Operasi itu dianggap sebagai terbesar oleh tentera AS di wilayah Idlib yang dikawal pemberontak sejak 2019 yang membunuh ketua kumpulan Negara Islam (IS) Abu Bakr al-Baghdadi.
Menurut penduduk dan sumber lain, sasaran operasi terbaharu itu dibuat di sekitar bandar Atme.
Nama yang tersebar di media sosial dan dalam kalangan penduduk tempatan mencadangkan serbuan AS tidak ditujukan kepada IS tetapi kepada kumpulan pesaing Al-Qaeda.
Pentagon tidak mendedahkan sasarannya dalam serbuan malam itu namun berkata lebih banyak maklumat akan diberikan kemudian.
“Pasukan Operasi Khas AS di bawah kawalan Komando Pusat AS menjalankan misi menentang keganasan petang ini di barat laut Syria,” kata jurucakap John Kirby dalam satu kenyataan.
“Misi itu berjaya. Tiada kemalangan jiwa di pihak AS,” tambahnya, tanpa mengulas lanjut.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata tujuh orang awam antara sekurang-kurangnya 13 orang yang terbunuh dalam operasi itu, yang menyaksikan tentera elit AS membuat pendaratan helikopter berhampiran Atme.
“Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, antaranya empat kanak-kanak dan tiga wanita, semasa operasi itu,” kata ketua pemantau Rami Abdel Rahman kepada AFP.
Wartawan AFP berjaya sampai di sebuah rumah di pinggir Atme yang kelihatan menjadi salah satu sasaran utama tentera khas AS itu. – AFP, 3 Februari, 2022.
Komen