Hampir 5 juta bayi lahir di Syria sejak perang tercetus


Syria mencatatkan 4.8 juta kelahiran sejak perang tercetus di negara itu, kata Unicef. – Gambar EPA, 15 Mac, 2020.

SEKURANG-kurangnya 4.8 juta bayi lahir sejak perang Syria bermula sembilan tahun lalu, lapor agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).

Kata Unicef, seramai 9,000 kanak-kanak dilaporkan terbunuh atau cedera sepanjang konflik itu.

Selain itu, sejuta kanak-kanak lahir sebagai pelarian sejak konflik itu tercetus pada 15 Mac 2011.

“Perang Syria mencatatkan satu lagi sejarah memalukan,” kata Pengarah Eksekutif Unicef Henrietta Fore yang berkunjung ke Syria pada minggu lalu.

“Ketika konflik itu memasuki tahun ke-19, berjuta kanak-kanak hidup dalam suasana perang, keganasan, kematian dan pelarian.”

Berdasarkan data yang diperoleh sejak 2014, hampir 5,000 kanak-kanak dengan usia paling muda tujuh tahun direkrut untuk berperang.

Kata Unicef, hampir 1,000 pusat pendidikan dan perubatan diserang sepanjang tempoh sembilan tahun konflik itu berlaku.

Agensi itu memberi amaran kesan perang tersebut terhadap kanak-kanak berkemungkinan amat menakutkan.

Pengarah serantau Unicef Ted Chaiban berkata serangan tentera kerajaan terhadap kubu terakhir kumpulan penentang di wilayah Idlib akan memberi kesan buruk terhadap kanak-kanak.

Serangan yang bermula sejak 1 Disember lalu itu menyebabkan lebih 960,000 orang menjadi pelarian termasuk 575,000 kanak-kanak.

Unicef berkata perkembangan itu menjejaskan lebih 2.8 juta kanak-kanak sama ada di Syria atau negara berhampiran kerana tidak mendapat pendidikan sewajarnya. – AFP,  15 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen