PDRM tidak pernah henti siasatan 1MDB, buru Jho Low, kata KPN


Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata PDRM tidak pernah menghentikan siasatan berhubung kes 1MDB serta memburu ahli perniagaan Jho Low. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2023.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menghentikan siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta memburu ahli perniagaan Jho Low, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Beliau berkata berikutan penahanan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan yang juga sekutu rapat Jho Low Jumaat lepas akan ada lagi tangkapan yang akan dilakukan dalam masa terdekat ini.

“Kalau Jasmine Loo pun polis boleh bawa balik, bila-bila masa untuk tangkap (mereka yang terlibat) dengan 1MDB dan Jho Low. 

“Cumanya tidak perlu untuk umum tahu di mana keberadaan mereka kerana itu semua taktikal polis,” katanya pada sidang media khas Ketua Polis Negara di Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.

Berhubung penahanan Jasmine Loo, Razarudin berkata wanita itu ditahan semasa hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bersama peguamnya untuk memberi keterangan.

“PDRM masih menyiasat dan bekerjasama dengan agensi-agensi lain terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sekiranya suspek adalah termasuk di dalam kategori orang dikehendaki,” katanya. – Bernama, 13 Julai, 2023.

MENYUSUL



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen