1MDB, anak syarikat dapat kebenaran teruskan saman terhadap rakan sekutu Jho Low


1MDB dan empat anak syarikatnya memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk meneruskan saman berjumlah AS$2.795 bilion terhadap Eric Tan Kim Loong yang diisytiharkan muflis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2023.

1MALAYSIA Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya hari ini memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk meneruskan saman berjumlah AS$2.795 bilion terhadap rakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, iaitu Eric Tan Kim Loong yang diisytiharkan muflis.

Peguam Siva Kumar Kanagasabai yang mewakili 1MDB berkata Penolong Kanan Pendaftar Haneefa Ariffin membenarkan permohonan 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Ltd, yang dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited selaku pemohon pada prosiding kes itu hari ini.

Siva Kumar berkata berikutan keputusan mahkamah hari ini permohonan 1MDB untuk meneruskan tuntutan saman terhadap Tan boleh diteruskan walaupun beliau diisytiharkan muflis.

“Apabila seseorang itu muflis, maka tindakan mahkamah tidak dapat diteruskan kecuali dengan kebenaran mahkamah dan kebenaran hari ini diperoleh anak guam saya,” katanya ketika dihubungi.

1MDB bersama empat anak syarikatnya memfailkan permohonan itu pada 2 Mei lepas dengan menamakan Tan sebagai penghutang penghakiman dan kerajaan Malaysia sebagai pemiutang penghakiman.

Dalam permohonan itu kelima-lima syarikat tersebut memohon diberikan kebenaran untuk meneruskan saman terhadap Tan antaranya atas alasan berlakunya beberapa kausa tindakan termasuk pecah amanah, pelanggaran tugas fidusiari dan konspirasi yang kesemuanya berlaku sebelum Tan diisytiharkan bankrap pada 14 Jun 2022.

Mohd Hisyamuddin Awang Abu Bakar, selaku pengarah 1MDB menerusi afidavit sokongannya yang difailkan bersama permohonan itu mendakwa antara 1 Oktober 2009 dan 7 Nov 2014, Tan menerima secara tidak jujur dana berjumlah AS$2.795 bilion tanpa sebarang tujuan komersial yang sah.

Menurutnya Tan tidak sepatutnya menyimpan dana berkenaan dan bertanggungjawab untuk mengembalikan wang tersebut kepada pemohon-pemohon.

Pada 14 Jun 2022 Tan diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas gagal melunaskan cukai pendapatan RM68,334,219.01 kepada kerajaan. 

Berdasarkan petisyen pemiutang, kerajaan memohon satu perintah kebankrapan dibuat mengenai harta kepunyaan Tan selaku penghutang kerana beliau berhutang dengan kerajaan sebanyak RM68,334,219.01 yang jumlah tersebut termasuk faedah dan kos dan ia merupakan tuntutan cukai pendapatan belum dibayar.

Sebelum ini 1MDB dan empat anak syarikatnya menamakan Tan bersama Jho Low dan empat ahli keluarganya Larry Low Hock Peng, Goh Gaik Ewe, Low Taek Szen dan Low May Lin dalam satu saman berbilion ringgit yang difailkan pada 7 Mei 2021. – Bernama, 7 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen