Lelaki dikaitkan dengan Jho Low meninggal dunia akibat strok, kata peguam


Kee Kok Thiam, lelaki yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low meninggal dunia pada 29 Mei. – Gambar Twitter, 31 Mei, 2023.

KEE Kok Thiam, lelaki yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang pulang ke Malaysia tiga minggu lalu dan membantu siasatan agensi antirasuah, meninggal dunia akibat serangan strok, kata peguam keluarganya.

Kee meninggal dunia di sebuah hospital pada 29 Mei dan akan dikebumikan pagi ini, tiga hari selepas kematiannya.

“Kami menggesa semua pihak supaya tidak melayan sebarang spekulasi berkaitan kejadian malang ini dan memberi ruang kepada keluarga yang berdukacita atas pemergiannya,” kata Tetuan Balen, Oh & Partners yang mewakili keluarga dalam satu kenyataan.

Laporan media sebelum ini menyebut Kee balik ke Malaysia selepas dihantar pulang dari Macau kerana tinggal lebih masa yang dibenarkan atas visanya.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 3 pagi, 3 Mei dan diarah untuk hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 10 pagi hari yang sama.

Semalam Al-Jazeera melaporkan Kee memberitahu SPRM mengenai Jho Low yang berada di Macau. Beliau juga dilapor mengesahkan bertemu beberapa buruan lain yang dikaitkan dengan kes 1MDB iaitu Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng, dan Nik Faisal Ariff Kamil di Macau.

Lee juga dilapor memberitahu SPRM mengenai arahan Low kepadanya “supaya tidak balik ke Malaysia untuk jadi saksi kes 1MDB.”

Kee dihantar pulang tidak lama selepas pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang melawat China pada akhir Mac, menegaskan usaha untuk menjejak buruan kes 1MDB.

Kee, yang didakwa orang kanan Low, hidup dalam pelarian sejak 2018.

Laporan media yang memetik maklumat penyiasatan SPRM menyebut Kee dipercayai menerima duit daripada 1MDB dan SRC melalui akaun sebuah syarikat atas nama Wright Shaw Limited.

Akaun syarikat itu disita oleh SPRM dengan kerjasama agensi penyiasatan jenayah komersial di Singapura.

Kee dibebaskan selepas keterangannya diambil oleh SPRM, yang ketika itu memaklumkan tiada pendakwaan terhadapnya setakat ini. – 31 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen