Jasmine Loo sedia kerjasama, kata peguam


BEKAS peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Jasmine Loo sedia bekerjasama dalam siasatan dan usaha mendapatkan semula aset terlibat kata peguamnya, Amer Hamzah Arshad dan Edmund Bon Tai Soon.

Mereka memberi jaminan, Loo atau nama sebenarnya Loo Ai Swan juga akan mendedahkan mengenai tindakannya menghilangkan diri selama ini.

“Anak guam kami letak kepercayaan penuh dan keyakinan ke atas sistem kehakiman dan perundangan Malaysia dan akan menghadapi segala urusan sewajarnya.

“Beliau juga berharap dapat disatukan semula dengan keluarga secepat mungkin,” kata peguam tersebut.

Loo ditahan pada Jumaat lepas dan disiasat mengikut Seksyen 409 bagi kes penyelewengan dana 1MDD.

Pada 20 Januari lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak dua kereta mewah dan wang berjumlah RM22,600 milik Loo.

Loo disebut sebagai salah seorang daripada rakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB.

Loo disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki. Keberadaannya tidak diketahui selepas melarikan diri.

Selain Loo, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, bekas pengarah eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Waran tangkap itu dikeluarkan pada 4 Disember 2018 selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB. – 13 Julai, 2023.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen