Tiada perselisihan dalaman mengenai laporan Fukushima


Kerajaan Jepun bercadang untuk melepaskan 1.2 juta tan air terawat dari loji nuklear Fukushima. – Gambar fail EPA, 8 Julai, 2023.

KETUA Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Sabtu berkata tiada perselisihan dalaman membabitkan penyediaan laporan komprehensif mengenai rancangan Jepun untuk melepaskan air terawat dari loji Fukushima.

“Tiada perselisihan faham. Ini adalah laporan komprehensif terakhir oleh IAEA dan tiada pakar bertemu saya menyatakan mereka tidak bersetuju dengan kandungannya.

“Apa yang saya boleh katakan kami amat yakin dalam cara (penilaian) dijalankan, dengan tafsiran berasaskan norma dan piawaian,” kata Rafael Mariano Grossi dalam wawancara eksklusif dengan agensi berita Yonhap di Seoul.

Grossi tiba di Korea Selatan pada Jumaat untuk lawatan tiga hari bagi menjelaskan analisis kajian keselamatan badan pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pelepasan air radioaktif terawat dari loji itu yang dirancang oleh Jepun.

Sekumpulan penunjuk perasaan yang tidak berpuas hati turut berada di lapangan terbang Gimpo, Seoul.

Semasa di Tokyo, Grossi menyampaikan laporan IAEA itu kepada Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida.

Laporan itu dilihat sebagai “restu” untuk rancangan Jepun yang dijangkakan bermula pada Ogos.

Grossi berkata, tujuan beliau ke Korea Selatan adalah untuk menangani “keraguan teknikal” orang ramai mengenai rancangan pelepasan air dari loji itu yang akan menggunakan teknologi sistem penulenan khas, yang dikenali sebagai ALPS.

Beliau turut dijadual bertemu Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan Nuklear Korea Selatan Yoo Guk Hee dan Menteri Luar Park Jin.

Selain itu, Grossi juga merancang bertemu ahli politik pembangkang Korea Selatan pada Ahad.

Grossi berkata laporan itu tidak dihasilkan bagi “memenuhi kehendak Jepun atau untuk keselesaan Jepun.”

Beliau berkata keputusan akan tetap sama jika Korea Selatan meminta kajian semula dibuat mengenai kesan pelepasan air itu terhadap negara jiran.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia tidak terbabit dalam laporan berkenaan tetapi pasukan IAEA mengikut parameter keselamatan yang ditetapkan oleh badan kesihatan PBB itu, katanya. – Bernama, 8 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen