PAS mahu PRK di Kuala Terengganu


PAS memutuskan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan parti itu di kerusi Parlimen Kuala Terengganu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2023.

PAS mengambil keputusan untuk tidak merayu pembatalan kemenangan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan bersedia menghadapi pilihan raya kecil, kata setiausaha agungnya.

Takiyuddin Hassan mengesahkan perkara itu, lapor organ parti tersebut Harakahdaily.

“Kes Kuala Terengganu kita tidak akan merayu, kita sedia menghadapi pilihan raya sekali lagi,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut hari ini.

Keputusan mahkamah minggu lalu menjadi pertikaian dalam PAS Terengganu.

Sebahagian daripada pemimpinnya mahu merayu kerana keputusan mahkamah tersebut menggambarkan PAS sebuah parti korup.

Keputusan diumumkan Takiyuddin pula memihak kepada satu lagi kumpulan dalam PAS Terengganu yang mahu PRK diadakan di Kuala Terengganu.

Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan wakil PAS Ahmad Amzad Hashim di kerusi tersebut dalam PRU15 selepas mendapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Keputusan Hakim Firruz Jaffriz memihak kepada pempetisyen, Mohd Zubir Embong dari Umno yang memfailkan permohonan itu 3 Januari lalu.

Mohd Zubir memohon kemenangan Ahmad Amzad dibatalkan kerana ada “bukti jelas” daripada saksi yang mendakwa menerima wang daripada PAS.

Firruz dalam penghakimannya bersetuju terdapat unsur rasuah yang berlaku dalam kempen Mohd Zubir bagi memancing undi pengundi.

Hakim juga membenarkan permohonan dari peguam responden untuk mendapatkan perintah penggantungan sementara bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Permohonan itu dibuat bagi memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut sementara rayuan dibuat di Mahkamah Persekutuan.

Pengisytiharan pengosongan kerusi akan menyebabkan pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi Kuala Terengganu. – 8 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen