Wakil rakyat mungkin hilang kerusi jika parti keluar gabungan, kata sumber


Chan Kok Leong

Menurut sumber, ahli Parlimen dan Adun mungkin perlu mengosongkan kerusi masing-masing jika parti mereka meninggalkan gabungan politik selepas pilihan raya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2022.

AHLI Parlimen dan Adun mungkin perlu mengosongkan kerusi masing-masing jika parti mereka meninggalkan gabungan politik selepas pilihan raya, kata sumber.

Ia berikutan takrifan baharu parti politik, termasuk gabungan seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), menurut sumber yang arif dengan perbincangan mengenai pindaan rang undang-undang antilompat parti.

Sumber berkata, antara perubahan yang dicadangkan ialah meminda Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan bagi mentakrifkan gabungan berdaftar sebagai parti politik.

Takrifan yang diambil dari Akta Pertubuhan 1966 itu secara jelas merangkumi gabungan sebagai parti politik.

Bagaimanapun, takrifan baharu itu hanya akan membuka ruang kepada cabaran undang-undang dan pelbagai isu pada masa akan datang.

“Katalah nanti Bersatu atau Star keluar dari PN atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS), adakah ini bermakna semua ahli Parlimen perlu melalui pilihan raya kecil?” kata salah seorang sumber kepada The Malaysian Insight.

“Walaupun pengundi yang membantah Langkah Sheraton mungkin gembira dengan undang-undang antilompat parti yang lebih tegas, namun ia akan merumitkan perkara-perkara remeh. Parti perlu diberi ruang kebebasan.”

Ketika ini BN, PH,PN, GRS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berdaftar sebagai entiti gabungan parti politik, dengan Bersatu dan Star adalah parti komponen dalam dua gabungan iaitu PN dan GRS.

Jika pindaan ini diluluskan, bermakna semua wakil rakyat Bersatu dan GPS secara automatik perlu menghadapi pilihan raya kecil selepas masing-masing keluar dari PH (2020) dan BN (2018), walaupun pindaan tersebut tidak bersifat retrospektif.

Meskipun matlamat pindaan adalah untuk menghalang berulangnya Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan PH tumbang pada 2020, langkah yang lebih praktikal ialah dengan melaksanakan ‘recall election’ atau pilihan raya semula bagi memecat wakil rakyat.

“Biar pengundi buat keputusan melalui pilihan raya pecat wakil rakyat. Jangan jadikannya automatik supaya parti bebas untuk keluar dari gabungan sekiranya prinsip mereka sudah tidak selari,” kata sumber itu lagi.

Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said juga pada September tahun lalu telah menghantar notis cadangan usul rang undang-undang (RUU) pemecatan ahli Parlimen 2021 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat semalam.

Khamis minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata draf RUU antilompat parti sedang diperinci dan diteliti semula oleh jawatankuasa pilihan khas selepas dibentangkan pada mesyuarat Kabinet sehari sebelumnya.

Wan Junaidi dalam satu kenyataan berkata Peguam Negara Idrus Harun telah memberi penjelasan kepada Kabinet mengenai pindaan Perlembagaan berhubung larangan ahli Parlimen bertukar parti,  dan jemaah menteri tiada bantahan terhadap draf yang dicadangkan jawatankuasa tersebut.

Kabinet katanya membangkitkan dua perkara agar diperinci dan diperhalusi semula, namun beliau tidak mendedahkan perkara yang diminta diteliti semula.

Pada 11 April lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul pembentukan jawatankuasa pilihan khas untuk membuat syor berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung larangan ahli Parlimen bertukar parti. 

Bebas bertanding semula

Menurut sumber lagi, antara pindaan penting lain termasuklah memansuh Perkara 48 (6) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kehilangan kelayakan ahli Parlimen atau Adun untuk bertanding semula dalam tempoh lima tahun selepas meletak jawatan.

Perkara 48 (6) ditambah ke dalam Perlembagaan Persekutuan pada 1990 semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, dua tahun selepas Shahrir Abdul Samad meletak jawatan sebagai ahli Parlimen Johor Bahru, yang membawa kepada pilihan raya kecil. Shahrir bertanding semula atas tiket Bebas dan menang dengan majoriti besar mengalahkan calon BN.

Pemansuhan Perkara 48 (6) akan membolehkan wakil rakyat mengosongkan kerusi dan bertanding semula dalam pilihan raya jika mereka tidak sehaluan dengan parti, seperti yang dilakukan oleh Shahrir pada 1988.

Satu lagi pindaan yang dicadangkan ialah memasukkan peruntukan baharu iaitu Perkara 49A, berkenaan butiran dan proses selepas seseorang ahli Parlimen melompat parti.

“Kerusi tersebut akan kosong jika ahli Parlimen letak jawatan atau dipecat dari parti.

“Salah satu syaratnya ialah berkenaan ahli Parlimen Bebas. Ahli Parlimen yang menyertai mana-mana pasti selepas menang pilihan raya atas tiket Bebas secara automatik perlu mengosongkan kerusi,” kata sumber.

Tiga ahli Parlimen Bebas iaitu P Prabakaran (Batu), Jugah Muyang (Lubok Antu) dan Larry Sng (Julau) menyertai PKR selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Hanya Prabakaran masih kekal dalam PKR, manakala Muyang dan Sng bertindak keluar parti ekoran Langkah Sheraton.

Sng menubuhkan Parti Bangsa Malaaysia, sementara Muyang kekal sebagai ahli Parlimen Bebas pro-kerajaan.

Bagaimanapun, ahli Parlimen tidak perlu mengosongkan kerusi jika dipecat dari parti. Begitu juga ahli Parlimen yang meletak jawatan dari parti selepas dilantik sebagai speaker, dan ahli Parlimen dari parti yang pendaftarannya terbatal, tambah sumber. – 8 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen