Tarikh sesuai PRN 6 negeri: Awal Ogos?


G Manimaran

Sekiranya Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan membuarkan DUN masing-masing akhir bulan depan, pengundian dijangka berlangsung awal Ogos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei 2023.

POLITIK Malaysia selalu dikaitkan dengan ‘kempen’ sepanjang masa. Malah, kempen untuk pilihan raya seterusnya dikatakan akan bermula sebaik sahaja pilihan raya semasa berakhir. Itulah senario di Malaysia. 

Kita berkempen secara langsung dan secara tidak langsung. Tidak dapat dipisahkan daripada cakap-cakap mengenai pilihan raya.

Sudah hampir tujuh bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung. Hampir setiap hari sebutan mengenai pilihan raya kekal segar. Bukan sahaja mengenai perjalanan dan kesudahan PRU5, tetapi kali ini mengenai kehadiran enam pilihan raya negeri (PRN), yang akan melibatkan Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang telah memutuskan untuk tidak mengadakan pilihan raya serentak PRU15 peringkat persekutuan.

Disebabkan pelbagai kelainan dan keunikan PRU15 termasuk keputusan tidak ada parti dan gabungan yang memperoleh kelebihan mutlak bagi membentuk kerajaan, maka kita disajikan dengan kerajaan perpaduan yang dibentuk akhir November lalu. 

Sejak itu setiap hari ada laporan berkaitan pilihan raya. Setiap hari disebut mengenai pilihan raya menerusi pelbagai platform.

Ini termasuklah kemungkinan akan tumbangnya kerajaan pusat, yang kembali menjadi perhatian sejak dua minggu lalu, dan akan ada sejumlah pilihan raya kecil untuk merealisasikan impian membentuk sebuah kerajaan baharu. 

Apakah cakap-cakap itu akan mengatasi titah Yang di-Pertuan Agong ketika pembukaan sidang Parlimen Mac lalu agar pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10, yang keempat di bawah tempoh pemerintahan baginda, adalah yang terakhir? 

Minggu lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menyuarakan kebimbangan susulan desas-desus berhubung isu kestabilan kerajaan yang terus kedengaran meskipun PRU15 pusat sudah lama berlalu. 

Dalam mesej menerusi Facebook, baginda titah: “Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini. Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan.”

Pelbagai pihak dengan tegas mengatakan mereka ada nombor; ada pemimpin sebuah parti menulis angka ajaib “126” di media sosial, lalu merancakkan lagi cakap-cakap mengenai pilihan raya kecil yang perlu diadakan di bawah kerangka perundangan yang diluluskan oleh Parlimen pada Julai lalu. 

Pada masa yang sama ada yang menafikan khabar dan spekulasi itu. Usaha menjatuhkan kerajaan kali ini menerusi pendekatan baharu memerlukan banyak pilihan raya kecil.

Dua hari lalu, Anwar mencabar pihak yang mendakwa ada nombor supaya membawa perkara tersebut, sudah tentu dalam bentuk usul, ke Dewan Rakyat. Jadi, macam-macam aspek pilihan raya menjadi perhatian. 

Pertemuan pemimpin PAS bersama Dr Mahathir Mohamad juga memanaskan suhu politik negara, sekali gus mengembalikan pertemuan tahun 2018-2019, beberapa bulan sebelum Langkah Sheraton. Siri drama politik pasca-PRU14 berulang lagi kali ini.

Dipendekkan cerita, politik Malaysia ini selalu dimeriahkan dengan cakap-cakap mengenai pilihan raya dan kempen yang berkaitan sepanjang masa. Kempen tidak formal, di luar kerangka perundangan pilihan raya sebenar, berlaku setiap hari. Menerusi media dan juga menerusi bukan media.

Dalam tulisan dua minggu lalu saya menceritakan mengenai “menu pilihan raya ketika raya”. Sememangnya kita tidak dipisahkan daripada hidangan pilihan raya.

Sejak 1 Syawal kita kembali dihidangkan dengan cerita-cerita mengenai PRN melibatkan enam negeri. Kesemua gabungan dan parti politik sudah mengaktifkan perundingan untuk memuktamadkan perbincangan mengenai pembahagian kerusi dan tapisan calon yang bakal diturunkan. 

Setakat ini nampaknya proses itu telah melalui separuh perjalanan, dan akan selesai awal bulan depan sebelum kesemua negeri mengambil keputusan muktamad untuk membubarkan dewan perundangan masing-masing.

Sekiranya kita berpegang kepada keputusan menteri besar dan ketua menteri kerajaan terbabit awal tahun ini mengenai tarikh pembubaran dewan perundangan masing-masing, iaitu akan dilakukan akhir bulan depan, pengundian dijangka berlangsung awal Ogos. 

Secara purata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan satu tempoh selama enam minggu yang selesa untuk menetapkan tarikh pilihan raya. Bermakna tempoh berkempen, pengurusan undi pos, hari mengundi awal dan seterusnya hari pengundian sebenar. 

Memandangkan, buat julung kali, kesemua negeri telah mencapai pendirian untuk membubarkan serentak Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding ketidaktentuan ketika PRU15 lalu, SPR mempunyai masa yang cukup untuk membuat persiapan menguruskan PRN. Penetapan awal ini, secara tidak formal, penting untuk keselesaan semua pihak.

Mandat semasa kesemua DUN bagi enam negeri terbabit akan berakhir antara 26 Jun dan 1 Ogos. Dewan Negeri Selangor mempunyai masa sehingga 26 Jun, Negeri Sembilan (2 Julai), Pulau Pinang (1 Ogos), Kedah (4 Julai), Kelantan (25 Julai) dan Terengganu (29 Julai).

Mengambil kira pelbagai perkembangan dan suhu politik yang semakin meningkat seiring dengan cuaca panas pada masa sekarang, para pemegang taruh mula membuat caturan mengenai tarikh pilihan raya di enam negeri terbabit. Nampaknya cakap-cakap pilihan raya akan berterusan lagi. Yang pasti ia tidak akan berakhir dengan PRN.

Selepas itu kita akan terus dihidangkan dengan pilihan raya kecil di luar jangkaan dan “boleh dijangkakan”.

Tempoh tiga bulan akan datang akan kembali memeriahkan lagi landskap pilihan raya. Semoga kemeriahan ini akan membawa kesejahteraan rakyat, bukannya memanjangkan lagi ketidaktentuan dan politiking yang berpanjangan. – 8 Mei 2023. 

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen