BEKAS perdana menteri Pakistan Imran Khan memenangi enam daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya dalam pilihan raya kecil, menurut keputusan tidak rasmi.
Pilihan raya kecil itu adalah perkembangan terbaru sejak pertelingkahan politik beberapa bulan lalu sebelum penyingkiran Khan pada April melalui undi tidak percaya.
“Beliau kalahkan ramai calon”, menurut tajuk muka depan di akhbar Daily Times, berikutan liputan media tempatan yang menggelarnya sebagai kemenangan peribadi untuk bekas bintang kriket antarabangsa itu.
Seseorang individu boleh bertanding di beberapa kawasan pilihan raya di Pakistan dan memilih yang mana untuk tarik diri jika mereka menang lebih daripada satu, namun jarang sekali calon bertanding sebanyak Khan.
Pemimpin berusia 70 tahun itu cuba mengganggu proses politik Pakistan sejak penyingkirannya pada April apabila mengarahkan semua ahli parlimennya melepaskan kerusi mereka, tanpa meninggalkan ahli PTI dalam Dewan Negara.
Setakat ini Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu hanya mengadakan pilihan raya kecil di lapan kawasan pilihan raya berbanding puluhan kawasan lain dan ketua PTI berkata Khan tidak akan mengambil mana-mana kerusi yang menang, mencetuskan pilihan raya selanjutnya.
Beliau juga berikrar untuk mengumumkan tidak lama lagi tarikh “perarakan panjang” penyokongnya di ibu negara bagi menekan kerajaan supaya mengumumkan pilihan raya umum lebih awal daripada yang dijadualkan pada Oktober tahun depan.
Khan kerap mengadakan perhimpunan menarik puluhan ribu orang di seluruh negara, memberikan ucapan mengkritik institusi negara—termasuk tentera yang berkuasa—kerana didakwa berkomplot untuk menjatuhkan kerajaannya. – AFP, 17 Oktober, 2022.
Komen