RATUSAN pendatang Afrika terkandas dalam keadaan teruk di kawasan padang pasir di selatan Tunisia pada Khamis selepas diusir dari bandar pelabuhan Sfax, kata saksi kepada AFP.
Ketegangan perkauman memuncak minggu ini menjadi keganasan yang menyasarkan pendatang dari negara Afrika sub-Sahara, dengan berpuluh-puluh orang melarikan diri dari bandar atau diusir secara paksa.
“Saya datang kerana saya mendengar hak asasi manusia dihormati di Tunisia, tetapi apa yang berlaku menunjukkan sebaliknya,” kata Issa Kone, 27 tahun, dari Mali.
Pergolakan itu tercetus selepas pengebumian seorang lelaki Tunisia berusia 41 tahun yang mati ditikam Isnin di Sfax dalam pertengkaran antara penduduk tempatan dan pendatang.
Tiga suspek kemudiannya ditangkap, semuanya dari Cameroon.
Sfax, bandar kedua terbesar di negara Afrika Utara itu, adalah lokasi berlepas bagi ramai yang berharap untuk sampai ke Itali melalui jalan laut, selalunya pulau Lampedusa yang terletak kira-kira 130km jauhnya.
Tunisia menyaksikan peningkatan dalam serangan bermotifkan perkauman selepas Presiden Kais Saied pada Februari menuduh “gerombolan” pendatang tanpa izin membawa keganasan dan mendakwa “komplot jenayah” bagi mengubah susunan demografi negara.
NGO berkata ratusan pendatang dibawa menaiki bas ke kawasan padang pasir di selatan Tunisia, berhampiran sempadan dengan Libya dan yang lain berdekatan sempadan dengan Algeria, dua negara dari mana ramai pendatang menyeberang masuk.
“Kami tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan atau minum. Kami berada di padang pasir,” kata Kone kepada AFP melalui telefon.
“Ejen pengawal negara menangkap kami di Sfax selepas memecah masuk rumah kami,” katanya.
Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan polis menghalau puluhan pendatang dari rumah mereka dengan sorakan penduduk Tunisia, sebelum memasukkan mereka ke dalam kereta polis.
Kone berkata beliau dibawa dengan bas ke berhampiran sempadan Algeria bersama kira-kira sedozen pendatang lain yang tinggal bersamanya di Sfax.
Sebelum pergi ke Tunisia, Kone bekerja selama dua tahun di Libya sebelum kekacauan di sana menyebabkan beliau pergi
Menurut Kone dan saksi lain, sekurang-kurangnya 1,000 pendatang terkandas dan melarat di padang pasir pada Khamis selepas dipaksa keluar dari Sfax.
Selain dibawa secara paksa ke padang pasir, berpuluh-puluh pendatang, yang takut akan tindakan balas daripada penduduk tempatan yang marah, pada Rabu dan Khamis pergi ke stesen kereta api Sfax untuk ke bandar Tunisia yang lain. – AFP, 7 Julai, 2023.
Komen