POLIS Tunisia semalam menahan pemimpin parti Ennahda Rached Ghannouchi dalam satu langkah menyaksikan peningkatan dalam kempen penangkapan yang menyasarkan ramai penentang berprofil tinggi Presiden Kais Saied.
Polis menyerbu rumah Ghannouchi pada petang semalam, menggeledahnya sebelum membawanya ke destinasi yang tidak diketahui.
Tahun ini polis menahan tokoh politik terkemuka di Tunisia yang menuduh Saied melakukan rampasan kuasa.
Seorang pegawai kanan polis berkata Ghannouchi dibawa masuk untuk disoal siasat dan rumahnya diperiksa atas arahan pendakwa raya yang menyiasat “kenyataan menghasut”.
Keputusan mengenai langkah seterusnya adalah dengan pihak pendakwa, kata pegawai itu.
Ghannouchi berulang kali disiasat sepanjang tahun lalu atas tuduhan berkaitan kewangan Ennahda dan dakwaan ia membantu kumpulan Islam mengembara ke Syria untuk berjihad.
Bagaimanapun Ghannouchi dan partinya menafikan tuduhan itu.
Pemimpin berusia 81 tahun itu adalah tahanan politik pada 1980-an dan diasingkan pada 1990-an sebelum kembali semasa revolusi Tunisia 2011 yang membawa demokrasi.
Di bawah kepimpinannya Ennahda bergerak ke arah pusat politik, menyertai gabungan pemerintahan berturut-turut dengan parti sekular dan beliau menjadi speaker Parlimen selepas pilihan raya 2019.
Sejak Saied merampas kuasa luas, yang menurut presiden diperlukan untuk menyelamatkan Tunisia daripada krisis bertahun-tahun, Ghannouchi menjadi pemimpin parti politik terbesar yang menentangnya. – Reuters, 18 April, 2023.
Komen