RAKYAT Tunisia pada Sabtu memboikot pilihan raya untuk parlimen baharu yang hampir tidak mempunyai kuasa berikutan rampasan kuasa oleh Presiden Kais Saied.
Presiden lembaga pilihan raya negara itu Farouk Bouasker berkata menjelang penutupan pusat mengundi pada 6:00 petang (1700 GMT), hanya 8.8% daripada sembilan juta pemilih telah membuang undi.
Ia merupakan angka paling rendah dalam mana-mana pilihan raya sejak revolusi.
Kumpulan pembangkang yang memboikot pilihan raya itu berkata ia adalah sebahagian daripada “rampasan kuasa” terhadap satu-satunya demokrasi yang muncul daripada pemberontakan 2011 di seluruh rantau ini.
Bouasker mengakui peratusan keluar mengundi adalah “sederhana” tetapi berkata ia boleh dijelaskan dengan “ketiadaan dana asing, berbeza dengan pilihan raya sebelumnya”.
“Ini adalah pilihan raya paling bersih, tanpa pembelian undi,” katanya.
Keputusan awal dijangka pada hari Isnin.
Barisan Penyelamat Nasional, yang merupakan pakatan pembangkang utama termasuk Ennahdha, menyifatkan peratusan keluar mengundi yang rendah sebagai “seismik”, dan menyeru presiden untuk membawa semua kuasa politik bersama untuk berunding.
Undian itu susulan daripada tiga minggu kempen yang hampir tidak ketara, dengan hanya beberapa poster di jalanan dan tiada perdebatan dalam kalangan orang ramai yang sibuk dengan aktiviti ekonomi harian.
Ia berlaku hampir setahun setengah selepas Saied mengerahkan tentera untuk menggantung parlimen, berikutan kebuntuan politik selama berbulan-bulan dan krisis ekonomi yang diburukkan lagi oleh wabak koronavirus.
Perebutan kuasanya mencetuskan kebimbangan terhadap demokrasi yang dimulakan selepas penyingkiran diktator Zine El Abidine Ben Ali.
Seorang penduduk Kasserine, Mohammed Jraidi, 40, berkata beliau memboikot pilihan raya itu.
“Saya tidak mempunyai sebarang kepercayaan dalam kelas politik.
“Mereka telah menggunakan kami sebagai tikus makmal untuk semua jenis pilihan raya sementara ekonomi semakin teruk,” katanya. – AFP, 18 Disember, 2022.
Komen