Pembangkang Tunisia gesa presiden letak jawatan selepas pilihan raya


Penyokong presiden Kais Saied meraikan kejayaan selepas tinjauan mendapati pengundi menyokong perlembagaan baharu di Tunisia pada Julai lalu. – Gambar EPA, 18 Disember, 2022.

PEMIMPIN pakatan pembangkang utama Tunisia menyatakan pada Ahad, Presiden Kais Saied harus “melepaskan jawatan serta-merta”, sehari selepas pengundi menolak pilihan raya untuk Parlimen.

Lembaga pilihan raya berkata, hanya 8.8% daripada 9 juta pengundi keluar untuk membuang undi pada pilihan raya Sabtu, kemuncak perebutan kuasa oleh Saied.

Kadar penolakan lebih daripada 91% “menunjukkan amat sedikit rakyat Tunisia menyokong pendekatan Kais Saied,” kata Ahmed Nejib Chebbi, presiden Barisan Penyelamat Nasional, memberitahu AFP melalui telefon.

Beliau berkata, keputusan itu membuktikan “penolakan besar” terhadap proses yang bermula apabila Saied, yang dipilih pada 2019, merampas kuasa eksekutif tahun lalu.

Pada Julai 2021, presiden itu memecat kerajaan, membekukan Parlimen dan mengepungnya dengan kenderaan tentera, berikutan kebuntuan politik selama berbulan-bulan dan krisis ekonomi yang diburukkan lagi oleh pandemik Covid-19.

Saied, bekas profesor undang-undang, kemudian menguasai badan kehakiman dan memaksa perlembagaan yang menyatukan kuasa hampir mutlaknya dalam referendum yang diboikot secara meluas pada Julai.

Tindakannya itu, sedekad selepas penyingkiran diktator Zine El Abidine Ben Ali, mencetuskan kebimbangan kembalinya pemerintahan autokrasi.

Barisan Penyelamat Nasional, yang termasuk musuh Saied, parti Ennahdha memboikot pilihan raya pada Sabtu, menyatakan ia sebahagian daripada “rampasan kuasa” terhadap demokrasi Tunisia.

Pilihan raya bagi dewan undangan baharu yang mempunyai 161 kerusi itu menyusuli tiga minggu kempen yang hampir tidak ketara, dengan hanya beberapa poster di jalanan dan tiada perdebatan serius dalam kalangan orang ramai yang sibuk dengan kelangsungan ekonomi setiap hari.

Langkah Saied pada mulanya disokong sesetengah rakyat Tunisia yang bosan dengan sistem demokrasi yang kucar-kacir dan kadangkala rasuah selepas revolusi.

Namun hampir setahun setengah berlalu, masalah ekonomi negara menjadi lebih teruk dan kadar inflasi lebih tinggi daripada peratusan keluar mengundi pada Sabtu. – AFP, 18 Disember, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen