PIHAK berkuasa Tunisia menemui mayat 13 pendatang, termasuk enam wanita dan enam kanak-kanak, selepas bot mereka terbalik ketika cuba menyeberangi laut berbahaya ke Itali, kata seorang pegawai mahkamah pada Sabtu.
Kesemua mangsa dari sub-Sahara Afrika dan berlepas dengan dua bot, kata Mourad Turki, jurucakap mahkamah di bandar pelabuhan Mediterranean Sfax.
Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 37 pendatang pada Jumaat dan Sabtu tetapi terdapat belasan lagi masih tidak dapat dikesan, katanya kepada AFP.
Tunisia dan negara jiran Libya adalah tempat berlepas utama bagi pendatang yang ingin ke pantai Eropah, selalunya dengan menaiki kapal atau bot yang dalam keadaan daif.
Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNHCR berkata kira-kira 1,300 pendatang mati lemas atau hilang di tengah Mediterranean pada 2021, menjadikannya laluan penghijrahan paling merbahaya di dunia.
Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi menganggarkan lebih 18,000 pendatang maut atau hilang ketika cuba membuat lintasan sejak 2014. – AFP, 10 April, 2022.
Komen