MAHKAMAH Tunisia mengenakan sekatan perjalanan ke atas speaker Parlimen negara itu yang kini dibubarkan, kata seorang jurucakap.
Sekatan terhadap Rached Ghannouchi adalah sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan menghalang keadilan berhubung pembunuhan dua tokoh sayap kiri pada 2013, kata jurucakap mahkamah, hari ini.
Sekatan perjalanan itu dikenakan ke atas “34 suspek dalam kes ini, termasuk Rached Ghannouchi,” kata jurucakap mahkamah di Ariana, Fatima Bouqtaya kepada AFP.
Ghannouchi mengetuai parti demokratik Islam, Ennahdha yang telah mendominasi politik pasca revolusi Tunisia.
Ghannouchi, 81, adalah pengkritik utama Presiden Kais Saied selepas menggantung Parlimen yang dikuasai Ennahdha pada Julai 2021 serta memecat perdana menteri dan mengambil alih kuasa eksekutif.
Saied kemudiannya membubarkan Parlimen pada Mac tahun ini. Tindakannya mencetuskan kebimbangan untuk mengembalikan pemerintahan autokrasi di negara yang mencetuskan gerakan pro-demokrasi, Arab Spring pada 2011 di rantau tersebut.
Badan kehakiman Tunisia pada Januari membuka siasatan terhadap suspek kerana didakwa “menyembunyikan maklumat” yang dikaitkan dengan pembunuhan Chokri Belaid dan Mohamed Brahmi sembilan tahun lalu.
Kumpulan Isis mengaku bertanggungjawab ke atas kedua-dua pembunuhan itu tetapi pengkritik Ennahdha termasuk abang kepada salah seorang mangsa menuduh parti itu cuba “memanipulasi dan memperlahankan” kes itu. – AFP, 28 Mei, 2022.
Komen