Walau berdepan cabaran, Srikandi Bersatu mahu jadi ejen perubahan


Amin Iskandar

Rina berkata, anggota Srikandi di peringkat akar umbi berdepan dengan pelbagai cabaran seperti diugut, dimaki hamun dan diperlekehkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 25 Mac, 2018.

SAYAP wanita parti Bersatu, Srikandi berusaha untuk menjadi ejen perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata ketuanya Rina Mohd Harun.

Rina berkata, kekuatan sayap itu terletak pada anggota yang berkualiti dan berani, walau jumlah mereka tidak sebesar Wanita Umno.

“Mereka yang bersama kita adalah wanita yang tahu tentang apa yang terjadi sekarang dan mereka mesti menjadi ejen perubahan.

“Bukan semua orang berani nak ke depan, terutamanya yang jadi parti pembangkang ini,” kata Rina dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya baru-baru ini.

Rina berkata, anggota Srikandi di peringkat akar umbi berdepan dengan pelbagai cabaran seperti diugut, dimaki hamun dan diperlekehkan.

Namun ahli Srikandi yang datang daripada pelbagai latar belakang itu tetap mengekalkan semangat juang tinggi, kata bekas exco Puteri Umno itu lagi.

“Bukan semua ada pengalaman politik, ada yang pertama kali nak mengundi, ada yang pernah terlibat dengan NGO dan ada juga yang tiada langsung pengalaman dalam mana-mana pertubuhan.

“Tetapi mereka mempunyai semangat juang yang tinggi. Kita bukan sahaja perlu meyakinkan ahli kita, kita nak yakinkan golongan wanita yang merupakan 51 peratus daripada pengundi keseluruhan,” kata graduan perbankan dari sebuah universiti Amerika Syarikat itu.

Srikandi Bersatu ditubuhkan pada 5 April 2017. Walaupun belum sampai usia setahun, Rina berkata Srikandi sudah wujud di 130 bahagian Bersatu di seluruh negara.

“Usaha terus dibuat, kita tahu pada peringkat permulaan ini cabaran pasti ada. Terutamanya apabila nama parti itu Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Saya nampak serangan kepada Bersatu ini lebih daripada parti yang lain kerana kita nak menggantikan Umno dalam kerajaan. Ini menyebabkan serangan kepada Bersatu ini lebih,” katanya.

Rina berkata, beliau mula rasa 'ada sesuatu yang tidak kena' apabila Umno semakin tidak mempedulikan masalah yang dibangkitkan rakyat.– Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 25 Mac, 2018.

Dari Puteri Umno ke Bersatu

Mengimbas kembali pengalaman dalam politik, Rina berkata beliau merupakan antara yang terawal bersama Puteri Umno ketika sayap itu baru hendak ditubuhkan.

“Saya mula menyertai politik bila saya mula balik daripada AS pada 1998. Selepas itu saya bekerja dan masa itu pada peringkat awal tahun 2000 masa Puteri Umno nak ditubuhkan.

“Ketika itu saya dilantik sebagai ahli jawatankuasa Puteri Umno Bahagian Sepang. Dilantik sebagai Biro Kebajikan.

“Saya rasa masa itu waktu untuk menyumbang balik kepada masyarakat melalui politik. Kemudian saya jadi ketua Puteri Umno Bahagian Sepang daripada awal mula bermesyuarat sehingga tahun 2008,” katanya.

Dalam Puteri Umno Rina pernah memegang pelbagai jawatan seperti setiausaha Puteri Umno Selangor, naib ketua Puteri Umno Selangor dan yang tertinggi ialah exco Puteri Umno Malaysia, katanya.

Beliau juga berbangga kerana Puteri Umno Sepang pimpinannya termasuk dalam senarai 10 sayap bahagian Umno dengan ahli paling ramai di Malaysia. 

“Ini bagi saya adalah komitmen kita kepada masyarakat. Maknanya kita berbakti kepada masyarakat dan sebab itu saya bersama politik,” katanya.

Ahli perniagaan itu berkata, beliau mula rasa “ada sesuatu yang tidak kena” apabila Umno semakin tidak mempedulikan masalah yang dibangkitkan rakyat.

“Saya lihat mereka (pemimpin Umno) anggap isu-isu rakyat ini sebagai benda remeh temeh. Bila saya beritahu pimpinan sekarang ini orang terpaksa buat dua tiga kerja, mereka kata ‘it’s good’. Bagi saya mereka tak nampak isu itu.

“Jadi saya fikir benda (ini) dah tak betul. Kita bukan cakap pasal diri kita, kita cakap tentang isu-isu yang membimbangkan rakyat. Ini yang rakyat beritahu kita,” katanya.

Menurut Rina disebabkan itu, apabila Dr Mahathir Mohamad yang merupakan idolanya menubuhkan parti baharu, beliau tidak teragak-agak untuk meninggalkan Umno yang sudah beliau sertai sejak lebih 20 tahun lalu.

Ditanya tentang kemungkinan bertanding PRU14, Rina berkata: “Itu adalah keputusan parti, apa sahaja yang diputuskan, saya akan patuhi.” – 25 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen