Pemimpin Afrika berhimpun di Kyiv bincang konflik Ukraine-Rusia


Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa tiba di Kyiv pada Jumaat untuk berbincang dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky. – Gambar Facebook, 17 Jun, 2023.

PEMIMPIN politik Afrika yang diketuai Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa tiba di Kyiv pada Jumaat untuk berbincang dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Selepas perbincangan itu, para pemimpin berkenaan akan berlepas ke Rusia pada hujung minggu untuk bertemu Presiden Vladimir Putin.

Sebelum ini, kedua-dua pemimpin menyatakan kesediaan untuk bertemu delegasi yang akan menjadi pengantara mengenai gencatan senjata dan mewujudkan keamanan yang berkekalan.

Delegasi itu termasuk ketua kerajaan Senegal, Congo-Brazzaville, Zambia dan Comoros. Mesir diwakili oleh Perdana Menteri Mustafa Madbuli manakala Presiden Uganda Yoweri Museveni diwakili oleh bekas perdana menteri selepas beliau diuji positif Covid-19.

Negara-negara Afrika mempunyai kepentingan langsung dalam konflik itu kerana kebanyakannya adalah pengimport utama bijirin dan baja Rusia dan Ukraine. Peperangan menyebabkan berlaku sekatan dan harga yang melambung tinggi bagi kedua-dua komoditi.

Selain itu wujud kebimbangan yang harga bijirin boleh meningkat lebih tinggi akibat sekatan eksport.

Afrika Selatan menerima kritikan Barat kerana beberapa dasarnya didakwa pro-Rusia selain disyaki membekalkan senjata kepada Moscow. – Bernama, 17 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen