Menteri dalam negeri Ukraine antara 18 maut nahas helikopter di Kyiv


Menteri Dalam Negeri Ukraine Denys Monastyrsky antara yang terkorban dalam nahas helikopter di di bandar Brovary, wilayah Kyiv semalam. – Gambar AFP, 19 Januari 2023.

SEBUAH helikopter dilaporkan terhempas di bandar Brovary, wilayah Kyiv, Ukraine semalam, dan mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang termasuk menteri dalam negeri, timbalan menteri dan setiausaha kerajaan negeri Ukraine, menurut gabenor Kyiv.

“Tragedi berlaku di Brovary. Jumlah mangsa meningkat. Setakat 10.30 pagi (0830GMT) – 18 maut, termasuk tiga kanak-kanak.

“Sementara itu 29 lagi dilaporkan cedera, termasuk 15 kanak-kanak.

“Semua bantuan yang diperlukan kini disalurkan kepada mangsa. Semua perkhidmatan kecemasan berada di lokasi nahas,” lapor Agensi Anadolu memetik Gabenor Kyiv Oleksiy Kuleba sebagai berkata di Telegram.

Kuleba juga mengesahkan bahawa helikopter milik Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine terhempas berhampiran sebuah tadika dan bangunan kediaman.

Sementara itu, Perdana Menteri Denys Shmyhal mengarahkan pegawai untuk segera mewujudkan unit khas bagi melakukan “siasatan terperinci berhubung semua tragedi itu.”

Timbalan Ketua Pejabat Presiden Ukraine Kyrylo Tymoshenko berkata dalam taklimat bahawa helikopter berkenaan melintasi “titik panas” konflik dengan Rusia, sambil menyatakan bahawa butiran lanjut akan diumumkan kemudian, menurut Agensi berita RBK-Ukraine.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Ihor Klymenko berkata di Telegram bahawa nahas helikopter itu mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang, sembilan daripadanya berada di dalam helikopter malang itu termasuk Menteri Dalam Negeri Denys Monastyrskyi, timbalannya Yevhen Yenin, dan setiausaha negara Yurii Lubkovych.

Klymenko juga berkata 22 mangsa, termasuk 10 kanak-kanak kini sedang menerima rawatan di hospital manakala siasatan sedang dijalankan di lokasi nahas. – Bernama, 19 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen