Tiada wakil pembangkang hadir ketika kerajaan bentang usul LKAN 2021


Alfian Z.M. Tahir

Takiyuddin Hassan (PN-Kota Baru) berkata langkah membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 2021 tidak pernah dilakukan sebelum ini dan ia sebelum ini hanya dibentangkan di meja ahli Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2023.

AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) tidak hadir di Dewan Rakyat ketika kerajaan membentangkan usul bagi membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 2021.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau berkata tiada ahli Parlimen pembangkang hadir setakat 2.45 petang manakala Young Syefura Othman (PH-Bentong) berkata bangku pembangkang masih kosong setakat 2.51 petang.

Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata PN tidak memboikot persidangan itu sambil menegaskan ahli Parlimen tidak mahu mengambil bahagian dalam perbahasan yang sedang berlangsung.

Khairil yang juga ketua penerangan PAS berkata PN bersetuju dengan kandungan laporan itu.

“Oleh itu perkara itu tidak perlu dibahaskan di Parlimen,” katanya

Bagaimanapun William Leong (PH-Selayang) berkata adalah malang pembangkang tidak mahu membahaskan laporan itu kerana ia akan menyumbang ke arah meningkatkan akauntabiliti di negara ini.

Tan Kar Hing (PH-Gopeng) juga bersetuju dengan mengatakan adalah pelik apabila ahli Parlimen Pembangkang tidak hadir.

“Semua kerusi kosong, bagi saya ini adalah sejarah tersendiri,” katanya.

Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini berkata perbahasan mengenai laporan itu tidak perlu kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Takiyuddin Hassan (PN-Kota Baru) berkata langkah membahaskan laporan itu tidak pernah dilakukan sebelum ini dan laporan itu sebelum ini hanya dibentangkan di meja ahli Parlimen.

“Berdasarkan semakan kami, belum pernah menjadi amalan di Parlimen untuk membahaskan laporan audit negara.

“Saya percaya usul membahaskan laporan audit itu boleh bercanggah dengan Peraturan 20(2) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada dewan. – 6 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen