Arul Kanda 'dengan senang hati bersetuju' beri keterangan, kata peguam


Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy, 45, juga turut didakwa bersubahat dengan Najib Razak dalam membuat pindaan laporan audit 1MDB bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2022.

BEKAS ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy “dengan senang hati” akan memberi keterangan mengenai bekas perdana menteri Najib Razak dalam perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB, kata peguam Arul Kanda, N.Sivananthan.

Beliau memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bahawa anak guamnya itu yang juga merupakan tertuduh dalam perbicaraan kes yang sama dengan Najib, bersedia untuk mempertahankan kenyataan yang diberikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan kes berkenaan berlangsung.

Mohamed Zaini: Pelanggan anda membantah dalam permohonan pihak pendakwa (menjadi saksi pendakwaan)?

Sivananthan: Pendirian pelanggan saya ialah dia telah memberikan kenyataan kepada SPRM apabila beliau disiasat, pendiriannya sejak awal lagi dan sehingga kini, beliau bersedia untuk menetapkan pendirian bahawa kenyataan yang diberikan kepada pihak pendakwaan, dia sudah bersedia untuk mempertahankan kenyataan itu, jika itu yang dimahukan pihak pendakwaan, dia dengan senang hati bersetuju.

Mohamed Zaini: Jadi, dalam bahasa Inggeris yang mudah ia bermakna “Ya”.

Apabila kenyataan hakim itu disambut dengan gelak ketawa yang riuh dalam mahkamah, peguam itu berkata inilah sebabnya mereka menjadi peguam, dan menambah bahawa anak guamnya “dengan senang hati bersetuju” dengan permintaan pihak pendakwaan.

Hakim menetapkan 24 Jun untuk menyampaikan keputusannya selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram, dan peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib kemudiannya berdiri dan berkata Arul Kanda akan dipanggil untuk memberi keterangan sejurus selepas keputusan itu dimuktamadkan sekiranya permohonan pihak pendakwaan dibenarkan.

Jika tidak, beliau berkata seorang pegawai penyiasat, yang merupakan saksi terakhir, akan dipanggil untuk memberi keterangan sebelum pihak pendakwaan menamatkan kesnya.

Terdahulu, Muhammad Shafee dalam menentang permohonan itu berkata pihak pendakwaan bertindak dengan niat jahat dan ia boleh mengakibatkan penyalahgunaan proses.

Beliau berkata pihak pendakwaan sepatutnya membuat permohonan itu semasa permulaan perbicaraan pada 2019, supaya Arul Kanda tidak dapat mendengar keterangan saksi lain semasa perbicaraan.

“Dalam kes ini, kini pihak pendakwaan tiada pilihan, jadi mereka memutuskan untuk memanggil Arul Kanda untuk menjadi saksi mereka, tetapi Arul Kanda tidak sepatutnya berada di mahkamah semasa perbicaraan. Arul Kanda sepatutnya berada di bilik saksi semasa perbicaraan.

“Selain itu pihak pendakwaan telah menunjukkan sejak awal perbicaraan dalam kenyataan pembukaan mereka bahawa mereka berhasrat untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi pendakwaan, oleh itu pihak pendakwaan sentiasa mengetahui bahawa keterangan Arul Kanda adalah perlu untuk menyokong kes mereka terhadap pelanggan saya,” kata Muhammad Shafee.

Sri Ram pula berkata Arul Kanda harus dipanggil sebagai saksi pendakwaan kerana dia mempunyai pengetahuan mengenai perbualan yang berkaitan, yang mungkin berlangsung antara dia dan Najib berhubung pertuduhan terhadap bekas perdana menteri itu.

Beliau berhujah bahawa sebagai seorang yang bersubahat, Arul Kanda adalah saksi yang relevan kerana dia berada dalam kedudukan untuk memberi keterangan berhubung kelakuan tertuduh bersama itu.

Menurutnya kata-kata yang diucapkan oleh Najib kepada Arul Kanda akan menjadi sangat relevan untuk mewujudkan niat rasuah.

“Dalam kes ini, Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib untuk melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Ada bukti yang mengesahkan bahawa Arul Kanda menghadiri mesyuarat yang diadakan pada 24 dan 25 Februari 2016. Ketika itu Arul Kanda adalah CEO manakala Najib ialah pengerusi Lembaga Penasihat.

“Bagaimana dia datang untuk menghadiri mesyuarat, dan sebarang komunikasi antara dia dan Najib, adalah perkara yang memang diketahuinya. Dia juga mengetahui semua perbualan yang berkaitan, yang mungkin diperkatakan antara dia dan Najib mengenai pertuduhan terhadap Najib,” kata Sri Ram.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama, 14 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen