Permohonan Najib gugur Sri Ram ketuai pendakwaan didengar 16 Oktober


Najib Razak mohon untuk gugurkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kesnya yang didakwa meminda laporan audit 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2020.

PERMOHONAN Najib Razak untuk menggugurkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kesnya yang didakwa meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan didengar 16 Oktober di Mahkamah Tinggi.

Tarikh pendengaran itu ditetapkan semasa pengurusan kes bagi permohonan itu di hadapan Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, yang hadir pada pengurusan kes itu mewakili pihak pendakwaan, memaklumkan kepada pemberita berhubung tarikh pendengaran itu.

“Permohonan untuk menggugurkan Sri Ram ditetapkan untuk pendengaran pada 16 Oktober di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan. Saya dimaklumkan pasukan pembelaan Najib perlukan masa untuk memberi maklum balas terhadap afidavit pihak pendakwaan yang diserahkan kepada mereka pada 29 Julai,” kata Mustaffa.

Peguam Nur Syahirah Hanapiah mewakili Najib pada prosiding itu.

Pada 12 Jun, Najib memfailkan permohonan untuk menggugurkan Sri Ram, disokong dengan dua afidavit, difailkan oleh Najib dan bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali.

Dalam permohonannya, Najib memohon diisytiharkan bahawa wujud konflik kepentingan antara pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya (TPR) kanan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah dan terus menjadi pengamal sebagai peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Malaya.

Beliau juga memohon diisytiharkan Sri Ram telah bertindak dan/atau terus bertindak dalam konflik kepentingan berdasarkan pelantikannya sebagai TPR kanan, telah mempamerkan sikap berat sebelah dan mala fide, inter alia, dengan membuat andaian dan menentukan lebih awal bahawa pemohon bersalah malah sebelum beliau secara rasmi didakwa di mana-mana mahkamah atau sebarang perintah atau relief yang mahkamah mungkin dapati sesuai dan betul dalam keadaan itu.

Pada 12 Jun Najib Razak memfailkan permohonan menggugurkan Sri Ram, disokong dengan dua afidavit, difailkan oleh beliau dan bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2020.

Sementara itu, Apandi dalam afidavitnya berkata pada lewat petang pada Januari 2018, Sri Ram telah datang ke rumahnya di Jalan Dutamas di Kuala Lumpur, selepas beliau (Sri Ram) membuat beberapa panggilan telefon untuk menyatakan mahu bercakap secara peribadi dengannya.

“Beliau (Sri Ram) berkata ,‘Tun M (bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) hantar saya untuk berjumpa anda,’ dan beliau meneruskan, ‘Beliau (Tun M) mahu anda tangkap Najib di pejabatnya, anda pergi esok pada 2 petang, kami akan aturkan polis di Putrajaya untuk lakukan apa yang perlu atas arahan anda. Kami juga akan aturkan untuk seorang majistret mengeluarkan perintah reman semasa beliau dibawa ke hadapannya,” kata bekas peguam negara.

Apandi mendakwa Sri Ram memberitahunya yang beliau akan menjadi wira di mata rakyat dan akan menjadi peguam negara yang pertama menahan perdana menteri yang sedang berkhidmat dan bahawa mereka telah menyediakan rancangan dan apa yang beliau (Sri Ram) perlukan adalah untuk beliau bersetuju.

Dalam afidavit jawapan difailkan pada 6 Julai, Sri Ram menafikan dakwaan Apandi bahawa beliau (Sri Ram) dihantar oleh Dr Mahathir untuk berjumpa Apandi berhubung perbualan untuk menahan Najib.

Sri Ram berkata beliau menghadiri perjumpaan dengan Apandi dan isterinya di kediaman mereka atas kapasiti profesional dan pada perjumpaan itu, beliau telah memberikan nasihat tertentu berkaitan keistimewaan profesional undang-undang.

Beliau berkata dalam perbualan itu, beliau memberi nasihat kepada Apandi bahawa terdapat keterangan dalam domain awam terhadap Najib dan adalah menjadi tanggungjawab Apandi untuk menahan dan mendakwa Najib.

“Tiada pada bila-bila masa dalam perbualan itu saya ada menyebut yang saya dihantar oleh Dr Mahathir,” katanya.

Najib, 67, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya, manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama, 7 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen