Zakir Naik, Adun Pulau Pinang selesaikan saman fitnah


Ravin Palanisamy

Pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik dan Adun Bagan Dalam Satees Muniandy mencapai penghakiman persetujuan untuk menyelesaikan kes saman fitnah melibatkan mereka berdua. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2023.

PENDAKWAH kontroversi Dr Zakir Naik dan Adun Bagan Dalam Satees Muniandy mencapai penghakiman persetujuan untuk menyelesaikan kes saman fitnah melibatkan mereka berdua.

Penghakiman persetujuan itu direkodkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan pesuruhjaya kehakiman Johan Lee Abdullah di hadapan Zakir dan Satees serta pasukan peguam mereka.

Free Malaysia Today melaporkan peguam Satees, Shamsher Singh Thind berkata saman itu diselesaikan secara muktamad tanpa pengakuan liabiliti, serta tanpa perintah kos.

“Tiada juga perintah untuk kos,” katanya.

Johan berterima kasih kepada kedua-dua pihak kerana membuat keputusan tanpa perbicaraan diteruskan.

Naik memfailkan saman terhadap Satees pada 2019 berhubung kenyataan Adun itu dalam laporan FMT berkaitan tangkapan besar-besaran kumpulan bersenjata Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan kedua, kenyataan berkaitan ceramah Zakir di Kota Bharu, Kelantan, pada tahun yang sama.

Satees juga disaman berhubung artikel yang diterbitkan oleh Malaysiakini pada tahun sama di mana beliau berkata pendakwah itu harus diusir dari Malaysia kerana mencadangkan warga India Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam samannya Naik mendakwa kenyataan Satees mempersendakannya dan menggambarkannya sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Plaintif membariskan dua lagi saksi manakala Satees dan seorang pegawai polis akan memberi keterangan dalam pembelaannya.

Peguam Akberdin Abdul Kader dan Rafie Shafie mewakili Naik.

Selain Shamsher Singh, peguam A Srimurugan, Gunamalar Joorindanjn dan Tony Tian turut mewakili Satees. – 30 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen