Artikel memfitnah, bekas ketua pengarang The Edge bebas


BEKAS Ketua Pengarang The Edge Communications Sdn Bhd dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini daripada pertuduhan memfitnah seorang individu bergelar ‘Datuk’ dan sebuah syarikat menerusi penyiaran satu artikel dalam The Edge Malaysia.

Ahmad Azam Mohd Aris, 61 yang didakwa dengan dua pertuduhan memfitnah individu itu dan empat buah syarikat menerusi penyiaran dua artikel, dibebaskan dan dilepaskan atas satu pertuduhan.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Siti Maryam Jamilah Md Kamal memaklumkan kepada mahkamah pihak pendakwaan mendapat arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menarik balik kes tersebut.

Siti Maryam Jamilah berkata pihaknya juga menerima surat representasi dikemukakan oleh Ahmad Azam bertarikh 28 Sept lepas.

“Oleh itu, saya memohon supaya tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan ini,” katanya semasa sebutan kes itu hari ini.

Bagaimanapun, peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Ahmad Azam memohon supaya anak guamnya dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu kerana tiada alasan diberikan mengapa kes itu ditarik balik dan sekiranya kes itu DNAA, pertuduhan itu akan tergantung ke atas tertuduh tanpa had masa.

Ahmad Azam didakwa memfitnah Datuk Kua Khai Shyuan, 38 dan Syarikat DGB Asia Berhad dengan menyiarkan satu artikel dalam The Edge Malaysia Bilangan 1337 bertarikh 21 September hingga 27 September 2020 yang mana tuduhan tersebut akan merosakkan reputasi individu itu dan syarikat berkenaan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa pula, Ahmad Azam dilepas tanpa dibebaskan daripada satu lagi pertuduhan iaitu memfitnah Kua dan syarikat DGB Asia, Trive Property Group Berhad, Metronic Global Berhad dan MNC Wireless Berhad.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan menyiarkan satu artikel dalam The Edge Malaysia Bilangan 1365 bertarikh 12 April hingga 18 April 2021 yang kandungannya merosakkan reputasi individu itu dan keempat-empat syarikat berkenaan.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan

Terdahulu, TPR Farhanah Fuad Mohamad Faiz berkata pihak pendakwaan turut mendapat arahan daripada AGC untuk menarik balik kes itu dan memohon supaya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Rajsurian yang dibantu Allyna Ng memohon agar anak guamnya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu atas alasan yang sama. – Bernama, 22 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen