Muhyiddin tiup api perkauman, kata Guan Eng


Pengerusi DAP Lim Guan Eng menuntut bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin memohon maaf atas tuduhan beliau membatalkan pengecualian cukai ke atas syarikat pegangan Yayasan Albukhary. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac 2023. 

PENGERUSI DAP Lim Guan Eng menuntut bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin memohon maaf atas tuduhan beliau membatalkan pengecualian cukai ke atas syarikat pegangan Yayasan Albukhary.

Dakwaan itu juga hanya direka Muhyiddin untuk mengalihkan perhatian dari kes penyelewengan RM232.5 juta dihadapi presiden Bersatu tersebut.

Tambahnya, ia juga sengaja dibangkitkan untuk meniup api perkauman dan menghasut sentimen rakyat.

“Amat mudah untuk mengapi-apikan atau menghasut perasaan rakyat yang mampu menggugat harmoni dan ketenteraman awam dengan menuduh saya sengaja membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada sebuah pertubuhan kebajikan Islam.

“Saya telahpun mencabar Muhyiddin bagi menunjukkan surat yang menunjukkan saya keluarkan arahan sebagai Menteri Kewangan untuk membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan alBukhary,” katanya.

Muhyiddin tidak mampu menunjukkan surat tersebut kerana ia tidak wujud, malah tidak berani mengulangi dakwaan itu semalam, kata Lim.

“Ini adalah petunjuk bahawa beliau sendiri sedar tentang fitnah jahat beliau terhadap saya. Oleh demikian, beliau harus meminta maaf dan menarik balik fitnah jahat ke atas saya,” katanya lagi.

Beliau selanjutnya memberi tempoh sehingga Rabu untuk Muhyiddin memohon maaf sebelum beliau memulakan saman ke atas ahli Parlimen Pagoh itu. 

Muhyiddin semalam mengaku tidak bersalah bagi empat tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM232.5 juta.

Presiden Bersatu itu dituduh menerima rasuah dari empat sumber berkaitan program Jana Wibawa yang dicetuskan sewaktu beliau menjadi perdana menteri.

Muhyiddin Yassin semalam mengaku tidak bersalah bagi empat tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM232.5 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac 2023. 

Beliau didakwa menerima RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 juta dalam bentuk suapan kepada parti Bersatu sebagai sekutunya.

Bagi empat tuduhan salah guna kuasa, Muhyiddin didakwa menyalahgunakan kedudukan sebagai perdana menteri dan presiden parti Bersatu antara tempoh 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Muhyiddin, 76, didakwa berbuat demikian bagi mendapatkan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu.

Bagi tuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM200 juta dari Bukhary Equity Sdn Bhd untuk partinya.

Untuk tuduhan kedua, beliau didakwa melakukan kesalahan serupa untuk mendapatkan RM1 juta dari Nepturis Sdn Bhd.

Beliau berdepan tuduhan serupa bagi tuduhan ketiga, melibatkan jumlah RM19.5 juta dari Mamfor Sdn Bhd.

Tuduhan keempat juga serupa, melibatkan jumlah RM12 juta dari ahli perniagaan bernama Azman Yusoff.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Bagi dua tuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa menerima RM120 juta hasil aktiviti haram dari Bukhary Equity Sdn Bhd dari 25 Februari 2021 hingga 8 Julai 2022.

Tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram dan dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama. – 11 Mac 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen