Muhyiddin mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah lebih RM232 juta


Noel Achariam Kalidevi Mogan Kumarappa

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 10 Mac, 2023.

BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin memohon dibicarakan bagi empat tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM232.5 juta.

Presiden Bersatu itu dituduh menerima rasuah dari empat sumber berkaitan program Jana Wibawa yang dicetuskan sewaktu beliau menjadi perdana menteri.

Beliau didakwa menerima RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 juta dalam bentuk suapan kepada parti Bersatu sebagai sekutunya.

Bagi empat tuduhan salah guna kuasa, Muhyiddin didakwa menyalahgunakan kedudukan sebagai perdana menteri dan presiden parti Bersatu antara tempoh 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Muhyiddin, 76, didakwa berbuat demikian bagi mendapatkan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu.

Bagi tuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM200 juta dari Bukhary Equity Sdn Bhd untuk partinya.

Untuk tuduhan kedua, beliau didakwa melakukan kesalahan serupa untuk mendapatkan RM1 juta dari Nepturis Sdn Bhd.

Beliau berdepan tuduhan serupa bagi tuduhan ketiga, melibatkan jumlah RM19.5 juta dari Mamfor Sdn Bhd.

Tuduhan keempat juga serupa, melibatkan jumlah RM12 juta dari ahli perniagaan bernama Azman Yusoff.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Bagi dua tuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa menerima RM120 juta hasil aktiviti haram dari Bukhary Equity Sdn Bhd dari 25 Februari 2021 hingga 8 Julai 2022.

Tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram dan dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama.

Pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi.

Azura membenarkan jaminan RM2 juta dengan dua penjamin dan mengarahkan pasport Muhyiddin diserahkan ke mahkamah.

Hakim menetanpkan 26 Mei untuk sebutan kes.

Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mengetuai pasukan sembilan timbalan pendakwa raya.

Muhyiddin diwakili K Kumaraendran, Rosli Dahlan dan enam lagi peguam.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga dijangka berdepan pertuduhan baharu di Mahkamah Shah Alam pada Isnin.– 10 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen