UMNO tidak boleh hanya jadi perhiasan dalam kerajaan perpaduan sebaliknya perlu memainkan peranan menyambung suara rakyat, termasuk berani menegur kerajaan, kata bekas naib presidennya Ismail Sabri Yaakob.
Bekas perdana menteri berkata Umno perlu menunjukkan kekuatannya sebagai parti terbesar dengan jumlah ahli paling ramai dan kejayaannya membangunkan negara lebih setengah abad.
“Justeru, Umno tidak boleh hanya menjadi hiasan untuk menubuhkan kerajaan di mana saya meminjam bahasa Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) bahawa Umno adalah pelengkap, manakala Timbalan Presiden Umno (Mohamad Hasan) mengingatkan ahli-ahli parti bahawa Umno hanya penumpang dalam kerajaan ini.
“Apatah lagi ada ucapan seolah-olah memberi amaran kepada ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) bahawa tindakan menarik sokongan tidak akan memberi kesan kepada kedudukan kerajaan,” katanya, menulis dalam rencana yang disiarkan di Utusan Malaysia, hari ini.
Rencana Ismail bertajuk “Raja yang mengatur bidak”.
Beliau menulis rencana itu susulan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan dua minggu lalu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Ismail Sabri mempersoalkan muslihat politik konvensyen itu diadakan di WTCKL, yang katanya dianggap “rumah Umno”.
“Apakah konvensyen parti-parti kerajaan perpaduan di WTC terselit agenda bagi pihak tertentu kerana ia diadakan di Dewan Merdeka yang selama ini menjadi pentas kepada Umno dalam menentukan hala tuju parti atau sememangnya Umno menjemput parti-parti ini atas perhitungan kepemimpinan Umno sahaja yang tahu?
“Banyak sungutan daripada pendukung dan ahli Umno di peringkat akar umbi,” katanya.
Ismail Sabri mengingatkan pemimpin Umno supaya “mengubati hati ahli-ahli akar umbi yang terluka” dengan kerjasama parti Melayu itu dengan Pakatan Harapan.
Beliau menyifatkannya sebagai “sesuatu yang sangat pahit untuk ditelan”.
“Tidak salah untuk Umno khususnya sayap Pemuda mengkritik mana-mana tindakan kerajaan yang menimbulkan kegusaran rakyat,” katanya.
Pemuda Umno, katanya, harus berani bersuara mewakili parti dan rakyat, dan tidak harus jadi buruk kakak tua dan jurucakap kepada kepimpinan yang bertentangan dengan ahli parti.
“Lebih malang apabila Pemuda menjadi jurucakap kepada parti lain dalam gabungan yang tidak menguntungkan Umno,” katanya.
Bagaimanapun Ismail Sabri mengakui keadaan politik sekarang menyukarkan Umno untuk menentukan hala tuju kerana parti itu bukan “raja yang mengatur bidak”.
“Maka sudah sampai masanya Umno bangkit kembali membina kekuatan dan tidak takut untuk menegur demi kebaikan bangsa dan tanah air,” katanya.
Ismail Sabri tidak mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden pada pemilihan Umno yang berlangsung pada Mac lalu.
Beliau bagaimanapun kekal tidak dicabar sebagai ketua Umno Bahagian Bera. – 27 Mei, 2023.
Komen