Ismail Sabri nafi wujud 'Langkah Tropicana'


Ismail Sabri menyifatkan segala tindakannya kini disalah tafsir, sehingga beliau dianggap pengkhianat jika bertemu dengan rakan dari PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2022.

NAIB Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menafikan terdapat pertemuan tertutup melibatkan pemimpin BN dan PAS di kelab golf Tropicana semalam.

Ismail Sabri dipetik Malaysiakini menyifatkan segala tindakannya kini disalah tafsir, sehingga beliau dianggap pengkhianat jika bertemu dengan rakan dari PAS sementara pihak yang bertemu dengan pimpinan dari Pakatan Harapan (PH) dianggap hero.

“Tak betul (pertemuan tersebut). Mana ada perjumpaan melibatkan 10 orang itu. Tengok senarai nama itu lima orang saja. Ini semua fitnah jahat untuk merosakkan nama saya.

“Hari ini nak jumpa kawan-kawan pun tak boleh. Jumpa kawan PAS (dianggap) pengkhianat, jumpa orang PH jadi hero penyelamat parti,” katanya dipetik portal berita itu.

Sepuluh pemimpin BN dan PAS dikatakan terlibat dalam pertemuan itu.

Selain Ismail Sabri, pemimpin lain yang didakwa terlibat pertemuan itu ialah Ketua Umno Bahagian Ketereh Annuar Musa, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Presiden MCA Wee Ka Siong dan bekas ketua Umno bahagian Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz.

Ismail berkata beliau berada di mesyuarat untuk majlis perpisahan bersama kakitangan pejabat Perdana Menteri, tetapi ia berubah menjadi perkara lain.

Sementara itu Presiden MCA, Wee Ka Siong turut menafikan terbabit dalam pertemuan melibatkan bekas perdana menteri Ismail Sabri, beberapa pemimpin Barisan Nasional dan PAS.

Wee dalam catatan di Facebook menjelaskan beliau secara tidak sengaja bertemu Ismail Sabri pagi ini di sebuah restoran di Tropicana Golf & Country Resort selepas bertemu dengan rakanannya di situ.

“Saya berada di sana di restoran itu selepas seorang rakan yang merupakan ahli perniagaan menghubungi saya untuk berjumpa. Di restoran itu, saya terserempak dengan Ismail Sabri yang baru selesai bersarapan di sebuah restoran lain bersebelahan dengan restoran Cina tempat saya bertemu rakan-rakan saya.

“Saya tidak terlibat dengan sebarang pertemuan dengan mana-mana parti politik. MCA bersetuju untuk memenuhi permintaan Yang di-Pertuan Agong supaya negara bergerak ke depan di bawah kerajaan perpaduan,” kata Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.

Presiden MCA, Wee Ka Siong menjelaskan beliau secara tidak sengaja bertemu Ismail Sabri pagi ini di sebuah restoran di Tropicana Golf & Country Resort selepas bertemu dengan rakannya di situ. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2022.

Awal hari ini, Wee didakwa bersekongkol dengan PAS dan pemimpin pro Perikatan Nasional daripada Umno selepas gambar pertemuan sulit itu tular di media sosial.

Sokongan 30 ahli Parlimen BN adalah penting kepada pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim membentuk kerajaan baharu selepas pilihan raya umum.

PRU15 menyaksikan tiada mana-mana parti memperoleh bilangan majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, menyebabkan dua gabungan terbesar – PH dan PN – perlu mendapatkan sokongan BN.

Anwar, 75, akhirnya mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada Khamis di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan sokongan BN serta Gabungan Parti Sarawak dan parti-parti kecil lain.

Pada Jumaat, Anwar berkata kerajaan perpaduannya mendapat sokongan 30 Ahli Parlimen BN serta 23 lagi daripada GPS, Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), dan seorang daripada Parti Bangsa Malaysia.

Bersama PH, sokongan ahli Parlimen ini memberikan Anwar majoriti “meyakinkan” sebanyak 145 kerusi.

Sementara itu PN berkata ia akan memainkan peranan sebagai pembangkang dan tidak akan menyertai kerajaan perpaduan Anwar. – 26 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen