USUL menamakan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri ke-10 dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terus mendapat sokongan sebahagian besar Umno bahagian hari ini.
Ini termasuk Umno Bahagian Padang Terap, Kedah; Umno Bahagian Arau, Perlis dan Umno Bahagian Tampin, Negeri Sembilan.
Malah di Pulau Pinang keseluruhan 13 bahagian parti itu sebulat suara menyokong usul diketengah oleh Majlis Tertinggi (MT) parti itu sebelum ini.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir berkata pihaknya membuat keputusan memberi tumpuan sepenuhnya kepada 13 Parlimen di negeri itu selepas kerajaan negeri tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Setakat ini Umno akan bertanding di lima kerusi Parlimen manakala MCA pula empat kerusi dan ada empat lagi kerusi yang sebelum ini Gerakan bertanding. Kerusi itu (Gerakan) akan ditentukan pucuk pimpinan, parti mana dalam BN yang akan bertanding,” katanya.
Di Kedah, Ketua Umno Bahagian Padang Terap Mahdzir Khalid berkata selain usul sokongan kepada penyandang Parlimen Bera itu, Umno bahagian turut meluluskan usul memberi kepercayaan kepada presiden parti Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan menyusun strategi memperkukuh Umno.
Turut diluluskan pada mesyuarat hari ini ialah usul supaya semua ahli parti bersiap siaga menghadapi PRU15 dengan penuh iltizam, cekal dan sehati sejiwa tanpa sebarang prasangka di semua peringkat kepimpinan dan ahli sama ada pusat, negeri, bahagian mahupun cawangan.
Di Negeri Sembilan, Ketua Umno Bahagian Tampin Mohd Isam Mohd Isa berkata sokongan kepada Ismail Sabri dipersetujui berdasarkan keupayaannya menstabilkan semula suasana politik negara walaupun menerajui kerajaan campuran.
Di Perlis, Ketua Umno Bahagian Arau, Shahidan Kassim berkata bukan hanya Bahagian Arau bersetuju dengan keputusan MT itu, malah hampir semua bahagian membuat pendirian yang sama.
Di Melaka, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh berkata Umno Melaka berikrar menjadikan PRU15 sebagai ruang menghapuskan pengkhianat serta mereka yang berpaling tadah dan menderhaka kepada parti.
Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Masjid Tanah hari ini yang dirasmikannya turut meluluskan usul melantik seorang ahli Parlimen BN dari Melaka sebagai menteri penuh. – Bernama, 16 Oktober, 2022.
Komen