Majikan tidak setuju kadar gaji minimum naik lagi


Angie Tan

Majikan berpendapat kenaikan gaji minimum lagi masih terlalu awal kerana penguatkuasaannya baru saja dilakukan pada 1 Mei tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2023.

MAJIKAN membantah sebarang tindakan untuk sekali lagi menaikkan kadar gaji minimum di negara ini, berkata kerajaan sepatutnya fokus kepada menghidupkan kembali ekonomi yang lembab, bukannya menambah beban kepada mereka yang sedang bergelut untuk bertahan.

Malah, ada antara mereka berkata kenaikan gaji minimum lagi masih terlalu awal kerana penguatkuasaannya baru saja dilakukan pada 1 Mei tahun lalu, di mana kerajaan menaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500.

Presiden Persatuan Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) Ding Hong Sing berkata pihaknya lebih suka jika kerajaan menfokuskan kepada cara membantu PKS menangani cabaran dihadapi pada masa ini, contohnya akses kepada pinjaman, ketidakcekapan proses kerja dan pemindahan kepada teknologi baharu bagi pengeluaran.

“Menaikkan kadar gaji minimum bukan idea yang baik pada masa ini. Mungkin boleh dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata kenaikan itu boleh dipertimbangkan apabila PKS dalam keadaan perniagaan yang lebih baik.

“Bila keadaan perniagaan kami lebih baik nanti, ekonomi negara juga akan baik.”

PKS yang dikategorikan kepada sektor perkhidmatan, pembuatan, pertanian, pelombongan dan kuari serta pembinaan, membentuk 97% perniagaan ditubuhkan di negara ini, menurut Malaysia Statistical Business Register (MSBR) yang disiarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara (DOSM).

Cakap-cakap mengenai kenaikan lagi gaji minimum tercetus selepas pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah Profesor Madya Firdausi Suffian mencadangkan ia dinaikkan lagi bagi mengimbangi pendapatan rakyat dengan kos sara hidup yang tinggi pada masa ini.

Katanya, kadar gaji minimum juga perlu dinaikkan selaras dengan pertumbuhan ekonomi negara bagi merangsang aktiviti ekonomi.

Ding berkata kenaikan itu akan menyebabkan pelabur asing takut dan tidak berminat kerana kos perniagaan di negara ini terlalu tinggi.

“Mereka tidak akan datang ke sini. Mereka akan ke Indonesia, Vietnam atau negara Asean yang lain,” katanya.

Ding berkata asas kepada kenaikan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 tahun lalu bertujuan memberi lebihan wang kepada pekerja sebagai ganti rugi terhadap inflasi.

“Inflasi masih berlaku. Adakah anda fikir jika gaji minimum dinaikkan sekali lagi, masalah inflasi akan selesai?”

Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) Oliver Wee Hiang Chyn berkata ada banyak faktor perlu dipertimbangkan sebelum melakukan pengubahsuaian itu.

Katanya, banyak syarikat pembinaan belum pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik Covid-19.

Harga bahan mentah melonjak, ditambah masalah kekurangan tenaga buruh dan perbalahan kontrak akibat pandemik masih merencatkan industri itu, katanya.

Wee berkata jika kerajaan mempertimbangkan kenaikan itu, maka ia perlu dilakukan apabila industri pembinaan dan PKS lain dalam keadaan yang baik.

“Kita tidak akan dapat menghapuskan kemiskinan di negara ini dalam masa sekejap. Inflasi memang memberi tekanan kepada kehidupan rakyat dan tindakan perlu diambil untuk mengurangkan beban itu.

“Tetapi semua itu perlukan masa. Kenaikan gaji minimum mungkin bukan penyelesaian jangka panjang terbaik untuk menangani inflasi kerana aia akan secara langsung menjejaskan kos perniagaan,” katanya. – 13 Mei, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen