Pengusaha tadika mengeluh sukar peroleh tenaga pengajar


Angie Tan

Isu gaji minimum dan syarat wajib kelayakan bagi seseorang untuk menjadi guru tadika antara punca utama kekurangan tenaga pengajar di seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac 2023.

TADIKA swasta kekurangan tenaga pengajar kerana banyak pengusaha tidak mampu menawarkan gaji minimum kepada kumpulan berkelayakan.

Ini ditambah pula dengan kekurangan kelayakan wajib bagi yang berminat .

Exco pembangunan sosial dan hal ehwal agama bukan Islam Pulau Pinang, Chong Eng, baru-baru ini mendedahkan mengenai kekurangan guru apabila beliau berkata banyak tadika di negeri itu tidak mampu menawarkan gaji minimum RM1,500.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Guru Tadika Malaysia Sally Ng, memberitahu The Malaysian Insight masalah itu bukan sahaja terhad di negeri itu sahaja.

Katanya, kekurangan guru tadika dialami hampir semua negeri di negara ini.

Ng berkata untuk menjadi guru tadika, seseorang itu mesti mempunyai sekurang-kurangnya diploma pendidikan awal kanak-kanak.

“Jadi berapa ramaikah anak muda yang berminat dengan pekerjaan itu mempunyai kelayakan seperti itu? Kedua, berapa ramai pula yang mempunyai kelayakan berminat untuk bekerja apabila mereka tidak dapat menerima gaji minimum asas?

Ng berkata sebenarnya tidak ramai yang mempunyai kelayakan akademik sebegitu.

Beliau juga berkata kebanyakan tadika biasanya juga mempunyai taska yang dibuka sehingga lewat petang bagi menjaga kanak-kanak yang ibu bapanya bekerja.

“Waktu bekerja yang panjang juga tidak menarik minat guru muda,” katanya.

“Selain itu, bekerja dengan anak-anak susah dan mereka kadang-kadang perlu berurusan dengan ibu bapa yang cerewet.”

Tadika yang menawarkan yuran bulanan yang sangat rendah sebagai strategi pemasaran untuk menarik ibu bapa menghantar anak mereka ke sana adalah yang tidak mampu menawarkan gaji asas minimum, kata Ng.

“Jika mereka hanya mengendalikan tadika atau tadika terletak di luar pusat bandar yang sewanya murah, maka mereka mampu membayar dan menarik minat guru.”

“Walaupun tadika itu terletak di bandar besar dan di kawasan utama, dengan bilangan pelajar yang mencukupi dan yuran lebih tinggi, mereka mampu membayar RM1,500 itu.

“Tetapi berapa ramai anak muda bandar yang berpuas hati dengan gaji RM1,500?

“RM1,500 di bandar besar tidak akan mencukupi. Inilah dilema yang kami hadapi dalam industri pendidikan awal kanak-kanak.”

Bagi menjadikannya lebih menarik, beberapa tadika khususnya di bandar, menawarkan gaji antara RM1,800 dan RM2,800, katanya.

Bagaimanapun, itu masih belum memadai.

Yang Dipertua Persatuan Guru Tabika Kedah dan Perlis, Woon Pek Poon berkata kebanyakan guru baharu tidak bertahan lebih dua minggu.

“Pekerjaan ini terlalu membebankan mereka. Selepas seminggu atau dua, mereka berhenti,” kata Woon.

“Saya juga pernah diberitahu oleh mereka yang lebih baik bekerja sebagai jurujual di pusat membeli-belah daripada menjadi guru tadika.”

Woon berkata terdapat kira-kira 500 tadika di Kedah dan majoritinya menghadapi kesukaran untuk mencari guru.

Beliau berkata kesukaran itu menyebabkan ramai ahli persatuan meminta bantuannya untuk mencari guru.

“Satu-satunya perkara yang boleh saya lakukan ialah menyiarkan maklumat ini dalam Facebook atau sembang kumpulan media sosial saya. Memang susah hendak mencari cikgu.”

Woon berkata terdapat kes di mana beberapa tadika mendapat sambutan menggalakkan, tetapi akhirnya, tiada sesiapa bekerja kerana gaji terlalu rendah.

“Mereka mahukan RM1,500 walaupun untuk bekerja setengah hari tetapi pihak tadika hanya sanggup memberi RM700 hingga RM800.”

Presiden Persatuan Guru Tadika Perak Lydia Looi berkata kekurangan guru menyebabkan beberapa tadika di negeri itu terpaksa ditutup. – 21 Mac 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen