Peguam muda kritik presiden berhubung gaji minimum pelatih


Alfian Z.M. Tahir

Seorang peguam wanita memegang sepanduk "Tolak Eksploitasi" semasa protes menuntut bayaran munasabah buat pelatih dalam kamar di mesyuarat agung luar biasa (EGM) Majlis Peguam di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Mei, 2022.

THE Young Lawyer Movement (YLM) meluahkan kekecewaan terhadap Presiden Majlis Peguam Karen Cheah yang baru-baru ini berkata tidak produktif untuk tetapkan gaji minimum buat pelatih dalam kamar.

Cheah berkata demikian berkenaan firma guaman yang lebih kecil, dan yang berada di luar Lembah Klang.

Wakil YLM hari ini, bagaimanapun, berkata komen beliau seolah-olah mencadangkan firma kecil akan hilang manfaat untuk dapatkan pekerja murah jika imbuhan minimum pelatih dilaksanakan.

“Kami dengan hormatnya tidak bersetuju dengan kenyataan presiden. Walaupun firma guaman kecil membentuk ekosistem yang penting dalam kerjaya, kami harap gaji untuk hidup lebih diutamakan berbanding entiti perniagaan,” kata wakil YLM Vince Tan kepada media hari ini.

“Pentingnya kebajikan seseorang manusia berbanding perniagaan sepatutnya jelas. Kami sangat ragu-ragu yang kenaikan gaji bulanan sebanyak RM1,000 atau kurang kepada pelatih akan memberi makna kepada hidup-mati perniagaan.

“Tetapi ia pasti akan membawa perubahan bagi seorang pelatih yang menjaga ibu tunggal yang sudah bersara dan adik-beradik lain selain bayaran sewa,” kata Tan di Wisma MCA, di mana mesyuarat agung luar biasa (EGM) Majlis Peguam diadakan hari ini.

The Young Lawyer Movement menggesa Majlis Peguam memaksa firma membayar peguam pelatih mengikut gaji minimum semasa. Bagaimanapun, pelatih tidak diklasifikasikan sebagai pekerja di bawah Akta Pekerjaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Mei, 2022.

Minggu lepas, Cheah memberitahu The Malaysian Insight Mahlis Peguam perlu “berhati-hati” dalam isu gaji minimum untuk pelatih dalam kamar.

“Saya percaya penetapan elaun minimum untuk pelatih mungkin tidak produktif, kerana setakat ini hanya firma kecil terlibat.

“Masalah lain yang kita akan lihat ialah elaun minimum di Kuala Lumpur akan berbeza dengan Kelantan atau Terengganu.”

Pada Mac, usul yang mahukan firma guaman membayar elaun minimum RM1,200 kepada pelajar ditolak pada mesyuarat agung tahunan Majlis Peguam Malaysia.

Para peguam menggesa Majlis Peguam memaksa firma membayar peguam pelatih mengikut gaji minimum semasa. Bagaimanapun, pelatih tidak diklasifikasikan sebagai pekerja di bawah Akta Pekerjaan.

Tan hari ini menegaskan supaya mengangkat semua ahli dalam bidang ini berbanding melibatkan diri dalam “kurang pemikiran” dengan mengorbankan pelatih. – 27 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen