Kenaikan drastik gaji minimum beri kesan kepada perniagaan, kata persatuan


Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia Soh Thian Lai melahirkan kekecewaan kerana kerajaan tidak mengendahkan nasihat industri perkilangan untuk meningkatkan gaji minimum secara progresif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2022.

KENAIKAN drastik gaji minimum berpotensi menjejaskan perniagaan yang baru bangkit selepas sekatan pergerakan susulan pandemik Covid-19, kata Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) hari ini.

Presidennya Soh Thian Lai melahirkan kekecewaan kerana kerajaan tidak mengendahkan nasihat industri perkilangan untuk meningkatkan gaji minimum secara progresif.

“Peningkatan kadar gaji minimum semasa RM1,200 kepada RM1,500 menyebabkan kenaikan secara mendadak sebanyak 25% ke atas gaji pokok yang akan memberi kesan terhadap kos upah keseluruhan dan memberi kesan kepada kos perniagaan serta berpotensi menjejaskan perniagaan termasuk pemulihan ekonomi,” kata Soh dalam satu kenyataan.

Merujuk kepada kaji selidik yang dijalankan FMM dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dari 5 Januari hingga 10 Februari, Soh berkata ramai bersetuju kenaikan RM100 masih diterima memandangkan keadaan ekonomi semasa.

“FMM mencadangkan kepada kerajaan agar pelarasan gaji minimum dilaksanakan secara berperingkat dengan kenaikan RM100 pada suku ketiga 2022 dan pelarasan seterusnya pada 2023/2024 mencecah RM1,500,” katanya.

Tinjauan itu juga mendapati kebanyakan perniagaan terjejas akibat varian Omicron, gangguan rantaian bekalan global, kenaikan harga komoditi, caj pengangkutan laut, kekurangan bekalan buruh dan kos elektrik yang tinggi.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan gaji minimum RM1,500 akan berkuat kuasa pada 1 Mei.

Syarikat kecil dan mikro akan dibenarkan menangguhkan pelaksanaan gaji minimum, kerana mereka mungkin tidak mempunyai kemampuan untuk membayar, katanya.

Soh berkata perusahaan mikro membentuk 78.6% daripada 97.4% PKS di negara ini.

“Perusahaan kecil dan sederhana dengan pekerja sehingga 200 tidak terkecuali dan peningkatan mendadak itu akan memberi kesan yang tidak diingini kepada pemulihan perniagaan mereka.

“Dalam keahlian FMM sendiri, hanya kurang 2% keahlian kami akan dikecualikan sekali gus memberi kesan kepada majoriti ahli kami.” – 20 Mac, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen