Pengusaha tadika dalam dilema antara gaji minimum dan yuran


Angie Tan

Beberapa pengusaha tadika dan taska dalam dilema untuk naikkan kadar yuran atau tidak selepas menaikkan gaji guru kepada gaji minimum baharu RM1,500. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2022.

BEBERAPA tadika mungkin berhadapan kesukaran membayar gaji minimum RM1,500 sebulan kepada tenaga pengajar, namun berusaha untuk tidak naikkan yuran atau cuma naikkan sedikit sahaja, kata persatuan.

Tadika yang mengenakan bayaran lebih murah kepada ibu bapa yang paling tertekan untuk melaksanakan gaji minimum baharu yang telah diwajibkan pada 1 Mei.

Tadika yang lebih mahal mungkin tidak akan naikkan yuran memandangkan ada yang menggaji guru lebih tinggi, kata presiden Persatuan Guru Tadika Perak Lydia Looi.

Kadar yuran mengikut lokasi dan perkhidmatan malah mampu mencapai serendah RM180 hingga RM200 untuk setiap kanak-kanak, katanya kepada The Malaysian Insight.

Kebiasaannya kadar yuran antara RM300 hingga RM400 sebulan, dan ada yang kenakan bayaran sebanyak RM600 hingga RM1,000 untuk setiap kanak-kanak.

“Mereka yang kenakan yuran lebih tinggi biasanya mempunyai lebih banyak kos untuk ditanggung, menetapkan keperluan yang lebih tinggi untuk guru mereka, dan akan lebih mampu membayar melebihi gaji minimum yang ditetapkan kerajaan.

“Namun, ada juga tadika di Perak yang cuma kenakan bayaran RM180 hingga 200 seorang. Bagaimana mereka mampu untuk beri gaji minimum RM1,500?” kata Looi.

Tadika juga tertekan akibat inflasi, yang memberi kesan kepada mereka walau sebelum gaji minimum dilaksanakan bulan lepas.

Tadika dan taska milik Looi akan menaikkan yuran sebanyak RM30, daripada RM800 sebelum ini kepada RM1,000 setiap kanak-kanak.

“Kami sediakan makan tengah hari dan hidangan ringan untuk kanak-kanak sepanjang hari, tetapi harga barangan kini terlalu mahal. Kami kena sesuaikan kos makanan kalau kami mahu terus beroperasi,” katanya.

Ibu bapa bagaimanapun menyokong dan memahami masalah yang dihadapinya berkaitan yuran itu, tambah Looi.

Walaupun begitu, Looi berkata beliau secara peribadi menyokong gaji minimum baharu kerana gaji yang lebih tinggi meningkatkan kualiti hidup guru.

“Kalau gaji rendah sangat, guru mungkin terpaksa buat dua kerja. Pagi di tadika, petang bekerja di tempat lain. Ini akan jejaskan motivasi dan kualiti pengajaran mereka.

“Bagaimanapun, yang tidak bagusnya, kena naikkan yuran selain membebankan ibu bapa.”

Presiden Persatuan Guru Tadika Malaysia Sally Ng berkata gaji minimum guru prasekolah di bandar besar sudah lebih tinggi daripada RM1,500 minimum yang ditetapkan kerajaan.

“Ini untuk guru yang bekerja sepenuh masa.”

Ng berkata guru prasekolah tidak akan sanggup bekerja sepenuh masa dengan hanya RM1,500 sebulan, malah pengusaha tadika sudah pun membayar antara RM1,600 hingga RM1,800 untuk mengambil guru sepenuh masa.

“Cuma perlu ada Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) untuk diambil sebagai guru, tetapi kini kerajaan menetapkan perlu ada diploma.

“Jadi pengusaha perlu bayar gaji yang lebih tinggi, atau sukar untuk ambil pekerja,” kata Ng.

Beliau berkata masih belum dapat dilihat bagaimana gaji minimum yang lebih tinggi akan memberi kesan kepada tadika yang ditubuhkan oleh gereja atau kumpulan agama, yang sering mengenakan bayaran yang lebih murah.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Guru Tadika Selangor dan Wilayah Persekutuan Tracy Ong Leh Hong berkata buat masa ini ahlinya digesa untuk tidak selaraskan yuran bagi menampung gaji minimum baharu.

“Ini kerana ibu bapa mendaftar pada awal tahun berdasarkan yuran yang telah kami tetapkan ketika itu.

“Jika kami tiba-tiba selaraskan yuran pada pertengahan tahun sekarang, kami bimbang akan kehilangan beberapa pelajar dan ibu bapa.”

Ong juga mengakui pengusaha yang masih terus naikkan yuran tidak boleh dihentikan.

“Ada yang benar-benar dalam keadaan sukar. Inilah dilema sebenar.

“Untuk satu, apabila tadika disambung semula selepas ekonomi dibuka semula (selepas penutupan Covid-19), terdapat lebih sedikit pelajar untuk bermula, dan kini di samping itu, terdapat inflasi, gaji minimum baharu dan kos yang lebih tinggi sepanjang masa.”

Ong berpendapat kerajaan sepatutnya membenarkan tempoh tangguh untuk perniagaan dan perkhidmatan agar dapat sesuaikan diri dengan gaji minimum RM1,500.

“Setiap sektor beroperasi secara berbeza.

“Gaji minimum baharu boleh diumumkan pada pertengahan tahun ini tetapi hanya berkuat kuasa tahun depan. Kemudian tadika akan ada masa untuk selaraskan yuran untuk tahun depan.”

Beliau berkata pengusaha juga keliru tentang bagaimana guru sambilan, atau mereka yang bekerja setengah hari, harus dibayar di bawah gaji minimum baharu.

Sementara itu, di Putrajaya, Persatuan Pengusaha Taska dan Tadika Putrajaya (Puspajaya) berkata tadika dan taskanya akan mula menaikkan yuran sebanyak 20 peratus hingga 40 peratus.

Ia memetik kos operasi yang lebih tinggi dan memberi notis kepada ibu bapa untuk bersedia dengan kenaikan yuran. – 15 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen