Guan Eng gesa Bank Negara tangguh kenaikan OPR


Lim Guan Eng berkata BNM wajar menghayati dasar kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan menumpukan kepada 3 keutamaan utama iaitu mengekang peningkatan kos sara hidup, menjana pertumbuhan ekonomi dalam  kelembapan global dan memerangi rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac 2023.

BEKAS menteri kewangan Lim Guan Eng menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) agar tidak menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) demi kepentingan peniaga kecil dan rakyat.

Beliau berkata BNM wajar menghayati dasar kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan menumpukan kepada 3 keutamaan utama iaitu mengekang peningkatan kos sara hidup, menjana pertumbuhan ekonomi dalam  kelembapan global dan memerangi rasuah.

“Langkah pertama yang harus dilakukan oleh Gabenor Bank Negara Nor Shamsiah Mohd Yunus ialah mengawal sebarang kenaikan kos sara hidup dengan menunda kenaikan OPR untuk melindungi peminjam individu dan perniagaan daripada sebarang kos kewangan tambahan. 

“Dengan inflasi menyederhana kepada 3.7% pada Februari 2023, tiada keperluan bagi sebarang kenaikan kadar faedah,” kata Ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Penganalisis menjangkakan BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas pada Julai, berdasarkan ramalan ekonomi yang didorong oleh permintaan domestik yang kukuh susulan pemulihan dalam sektor pekerjaan.

Lim yang juga pengerusi DAP menambah walaupun Nor Shamsiah telah mencadangkan enam pembaharuan struktur untuk meningkatkan daya saing dan potensi pertumbuhan Malaysia, namun tiga matlamat utama Anwar harus diutamakan.

Langkah itu perlu bagi memastikan kestabilan kerajaan perpaduan daripada terus diancam sentimen perkauman dan pelampau, jelasnya.

Beliau berkata BNM perlu aktif membantu kerajaan untuk mewujudkan kestabilan politik bagi meyakinkan pelabur dengan sebuah kerajaan yang progresif, cekap, telus dan inklusif dan bukannya kerajaan yang ekstremis, perkauman dan culas, tidak jujur ​​tanpa sebarang perancangan ekonomi rasional.

“Walaupun enam pembaharuan struktur utama yang dicadangkan oleh Nor Shamsiah untuk meningkatkan daya saing dan potensi pertumbuhan Malaysia adalah matlamat jangka panjang yang ideal, tiga matlamat utama Anwar harus diutamakan untuk memastikan kestabilan kerajaan perpaduan daripada terus diancam sentimen perkauman dan pelampau.”

Lim juga berkata kenaikan atau penurunan OPR tidak mempunyai kesan yang ketara ke atas nilai ringgit berbanding dolar AS, yang ditentukan oleh faktor luaran di luar kawalan negara. – 31 Mac 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen