Makin ramai warga emas Korea Selatan masih bekerja ekoran kos sara hidup


Peningkatan kos sara hidup menyebabkan jumlah rakyat Korea Selatan berumur 60 tahun ke atas masih bekerja, meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun. – Gambar AFP, 19 Mac 2023.

JUMLAH rakyat Korea Selatan yang berumur 60 tahun ke atas dan masih bekerja meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun lalu berikutan peningkatan kos sara hidup, di tengah-tengah kelembapan ekonomi global.

Jumlah itu melonjak kepada 5.77 juta pada Februari berbanding 2.73 juta pada bulan yang sama tahun 2013, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Perkhidmatan Maklumat Statistik Korea (KOSIS).

Angka 5.77 juta itu juga adalah yang tertinggi untuk Februari sejak KOSIS mula menyusun data berkaitan pada 1996.

“Sebahagian daripada mereka perlu bekerja terutamanya kerana peningkatan harga pengguna,” menurut KOSIS.

Dalam tempoh 10 tahun lalu, kadar pekerjaan dalam kalangan mereka yang berumur 60 tahun ke atas terus meningkat, mencecah 42.8% pada Februari daripada 32.8% sedekad lalu. – Bernama, 19 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen