Akhirnya dunia hanya ada empat raja 


Hishamuddin Rais

PADA 23 Julai 1952, Gerakan Pegawai Tentera Bebas atau Free Officers Movement melancarkan apa yang dirakam oleh sejarah sebagai Revolusi 23 Julai. Rampasan kuasa di Mesir ini dipimpin oleh Mohamad Naguib dan Gamal Abdel Naseer.

Revolusi 23 Julai ini menghumbankan Raja Farouk dan mendirikan Mesir sebagai sebuah kerajaan Republik. Raja Farouk dan kaum keluarga sempat melarikan diri ke Itali.

Pada 30 Julai 1952 di Pulau Capri, Itali, Raja Farouk yang menghadapi media mengeluarkan kata-kata: “The whole world is in revolt. Soon there will be only five Kings left – the King of England, the King of Spades, The King of Clubs, the King of Hearts, and the King of Diamonds.”

“Seluruh dunia sedang memberontak. Tidak lama lagi hanya tinggal lima raja – Raja England, Raja Sepit, Raja Kelawar, Raja  Lekuk  dan Raja Deman.”  Ini petikan kata-kata Raja Farouk yang hingga ke hari ini masih diguna pakai.

Petikan kata-kata Raja Farouk in masih terbukti benar dengan pertabalan Putera Charles dinobatkan untuk menjadi Raja Charles ketiga England pada Sabtu 6 Mei yang lalu.

Saya tidak mengikuti secara terperinci pesta dan upacara pertabalan Raja Charles ini. Saya membaca mana yang sempat. Saya seorang Republikan; justeru, berita-berita, gosip atau klip video feudal ini tidak saya beri perhatian.

Pada masa yang sama, saya tidak ada masalah dengan Raja-Raja. Untuk saya sesiapa sahaja boleh menjadi Raja dan memanggil diri mereka Raja asalkan sosok ini bekerja untuk menampung kehidupan sendiri.

Sosok ini buat apa yang patut untuk mencari makan. Kalau perlu memandu Foodpanda, silakan. Kalau perlu jual nasi lemak, silakan. Saya tidak akan menafikan status Raja sosok-sosok ini walaupun mereka memandu teksi untuk mencari rezeki.

Saya seorang republikan yang demokratik.

Sikap demokratik ini lahir kerana dari kecil lagi kehidupan saya dikelilingi oleh ramai raja. Ketika saya membesar di Kampung Batu Serambai, Ulu Klawang, berek cikgu rumah keluarga kami dikelilingi oleh rumah-rumah dan keluarga raja-raja.

Ada Raja Husin yang cari makan dengan bermain silap mata dan menjual  minyak kambing gurun. Ada Raja Agong yang menjual kuih untuk murid sekolah. Ada Raja Deraman yang bekerja sebagai penoreh getah.

Malah Tok Penghulu mukim Ulu Klawang ialah Tengku Razak. Tengku Alawiyah, anakanda Tengku Razak, belajar satu kelas darjah tiga dengan Hishamuddin Rais.

Justeru raja-raja ini bukan satu yang luar biasa untuk diri saya.

Apa  yang menarik di pertabalan Raja Charles ini ialah keterlibatan kawan saya. Kawan saya ini Dr Maung Zarni anak kelahiran Burma. Zarni ini bekas pensyarah ilmu politik antarabangsa di Universiti Brunei dan juga di Universiti Malaya.

Profesor Zarni ini seorang intelektual rakyat. Bukan hanya seorang ahli akademik malah dia juga seorang aktivis hak asasi. Penyokong tegar warga Rohingya walaupun dirinya seorang penganut Buddha. Zarni penentang rejim kerajaan tentera di Myanmar.

Tulisan, suara dan pandangan Zarni muncul di merata pelosok – dari BBC ke Al-Jazeera ke Democracy Now ke Washington Post ke The Guardian.

Kami berkenalan kerana kami sama bergerak aktif di Eropah dan di Asia Tenggara. Kami pemula NGO FORSEA – Forces of Renewal of South East Asia – yang ditubuhkan pada 2018 di Perancis dan dirasmikan di Kuala Lumpur pada 2019.

Tiga hari sebelum pertabalan Raja Charles saya berjumpa Zarni di Kuala Lumpur. Dia dalam perjalanan pulang ke London dari Indonesia.

Dengan panjang lebar Zarni telah menyatakan bagaimana kaum feudal Inggeris telah bertanggung jawab merompak dan melanun dunia. Penjarahan kuasa kolonial Inggeris ini  berlaku di Burma dan juga di Tanah Melayu.

Dari kajian akademik Zarni telah menerangkan bagaimana jentera kolonial Inggeris telah bersubahat dengan kaum feudal Inggeris untuk menjajah dunia.

They are criminals… involved in genocide.”  Zarni menuduh kaum feudal sebagai penyamun dan terlibat jenayah pembunuhan beramai-ramai.

Pada Ahad, sehari selepas Putera Charles ditabalkan, saya menerima berita bagaimana Zarni secara terbuka melalui media sosial telah menimbulkan isu loceng milik Burma yang dicuri kolonial Inggeris pada tahun 1885 dari Mandalay. Loceng bersejarah ini kini berada di taman Istana Windsor milik Raja Charles.

Pada sebelah petang Ahad saya menerima satu lagi berita yang memeranjatkan. Akaun Twitter Dr Maung Zarni telah dipadamkan dari platform itu.

Berita pemadaman akaun Twitter Zarni ini menjadi heboh.

Saya difahamkan bahawa syarikat Twitter mengambil tindakan kerana Zarni telah  membandingkan upacara pertabalan Raja Charles ini sama seperti propaganda Hitler pada zaman Nazi. Walhal kaum feudal Inggeris ini memainkan peranan penting dan terlibat dalam melakukan jenayah genocide.

Loceng yang dicuri di Mandalay yang ditimbulkan oleh Dr Maung Zarni ini mengingatkan saya kembali ketika saya belajar di sekolah menengah. Dalam kelas sejarah saya telah mempertikaikan tentang Stamford Raffles yang dikatakan menemui Singapura pada 8 Januari  1819.

“Bagaimana dengan para nelayan yang ada menangkap ikan di sana, mereka lebih awal datang ke Singapura daripada Raffles.’ Ini soalan saya yang tidak dijawab cikgu Sejarah.

Pertabalan Putera Charles telah menimbulkan pelbagai perkara tentang monarki secara am dan monarki Inggeris secara khusus.

Kini telah dipersoalkan kembali tentang peranan monarki Inggeris dalam perniagaan hamba abdi. Dilaporkan bagaimana suku sakat kaum kerabat monarki Inggeris telah juga mendapat untung dan membuat harta kekayaan dalam perniagaan hamba abdi.

Para monarki dari England, Portugal, Sepanyol dan Perancis telah menangkap hampir 13 juta Negro dari Afrika dan dihantar dengan kapal laut ke Dunia Baru – Amerika. Dikatakan lebih 2 juta warga Afrika ini telah mati dalam perjalanan.

Kini warga British yang berkulit hitam mahu Raja Charles mengakui keterlibatan monarki dalam jenayah jual beli hamba ini. Warga kulit hitam juga mahu Raja Charles minta maaf dan membayar ganti rugi.

Penjarahan dan rompakan yang dilakukan oleh datuk nenek moyang kaum kerabat Charles heboh dibincangkan di United Kingdom ketika persediaan pertabalan dirancang.

Warga di negara-negara bekas tanah jajahan Inggeris hari ini sedang membincangkan kembali peranan monarki dan kolonialisme.

Monarki dan kuasa kolonial Inggeris terbukti banyak melakukan jenayah rompakan dan melanun. Ada dua rompakan yang melibatkan kolonial Inggeris yang selalu menjadi berita.

Pertama: Elgin Marbles – batu marmar ukiran zaman kuno Greek. Batu marmar ini dicuri pada tahun 1801 oleh ajen monarki Inggeris Lord Elgin. Kini artifak bersejarah ini disimpan di Muzium British.

Kerajaan Greek telah berulang kali menuntut agar batu ini dipulangkan ke tanah asal usulnya.

Kedua:  Khoo-i-Noor – permata berlian terbesar di dunia. Permata berlian tersohor ini  telah dicuri oleh pegawai Inggeris Theo Matcalfe pada tahun 1849 sesudah Inggeris menawan Punjab. Berlian ini asalnya milik Nader Shah, Raja India dari Dinasti Merak.

Berlian ini dibawa balik ke England dan dijadikan sebahagian daripada batu permata mahkota monarki England.

Ketika Raja Charles ditabal, mahkota yang ada permata Khoo-i-Noor ini telah tidak diguna pakai walaupun raja-raja terdahulu telah memakai mahkota ini pada hari pertabalan.

Raja Charles merasa segan untuk memakai mahkota curi pada hari pertabalan. Amin.

Seperti kes Elgin Marbles, permata Khoo-i-Noor ini juga sedang dituntut kembali oleh India dan rakyat Punjab.

Dari fakta sejarah, terlalu banyak jenayah dan rompakan yang telah dilakukan oleh monarki dan  kuasa kolonial Inggeris.

Di Tanah Melayu sendiri kita tahu ada banyak manuskrip lama dan kitab Melayu kuno yang telah dibawa pulang oleh penjajah Inggeris ke London. Kini artifak sejarah negara bangsa ada tersimpan di muzium dan gedung arkib mereka.

Kita juga seperti rakyat Greek dan warga Punjab wajib menuntut kembali segala artifak sejarah milik kita yang telah dilanun oleh kuasa kolonial Inggeris.

Hari ini – abad ini – kita anak bangsa wajib diberi pencerahan tentang satu jenayah besar monarki dan kolonial Inggeris. Bukan intan dicuri, bukan batu marmar yang mereka rompak tapi lebih jahat daripada itu.

Jenayah paling besar yang dilakukan oleh monarki dan kolonial Inggeris ialah membawa pendatang dari India dan China masuk ke Tanah Melayu. Kemasukan pendatang dari India dan China ini telah mengubah demografi dan politik Tanah Melayu.

Jenayah Inggeris ini juga telah memisahkan pulau Singapura dari Bonda Kandung Semenanjung Tanah Melayu. Hingga ke hari ini Orang Melayu masih lagi membayar harga yang amat mahal terhadap jenayah monarki Inggeris ini.

Ada satu yang amat menarik ketika Raja Charles ditabal. Dunia telah diberitahu bahawa sokongan rakyat biasa terhadap sistem monarki di United  Kingdom makin merosot. Penghormatan rakyat Britain terhadap Raja Charles tidak sama seperti sikap mereka terhadap Baginda Ratu Elizabeth.

Pada 30 November 2021, Barbados, bekas tanah jajahan Inggeris yang masih mengakui Monarki England sebagai Ketua Negara, telah menjadi Republik Barbados. Rakyat Barbados menolak Ratu Elizabeth  dan melantik presiden baru.

Langkah Barbados ini telah mempengaruhi Belize, Grenada, Jamaica, Saints Kits, Saint Lucia, Saint Vincent dan Grenadines – semua negara kecil  ini masih bernaung di bawah Monarki England. Kini negara-negara ini mahu menjadi republik.

Gerakan anti monarki dan semangat republikan juga semakin merebak di Australia, di Kanada dan di New Zealand.

Sejarah telah merakamkan pada hari dan saat Raja Charles ditabal, Gerakan Republik telah muncul bersama orang ramai berarak ke arah Istana Buckingham. Anak-anak muda yang anti monarki telah keluar berdemo membawa sepanduk dan melaungkan: This is not my king – ini bukan raja kami.

Puluhan anggota Republikan anti monarki di United Kingdom telah ditangkap. Jelas, apa yang berlaku pada hari pertabalan Raja Charles menunjukkan bahawa sistem monarki ini hanya menunggu masa untuk dikuburkan.

Geo-politik, perkembangan teknologi dan budaya akan mengubah kata-kata Raja Farouk – dunia akhirnya akan hanya melihat lima Raja.

Mengikut firasat Hishamuddin Rais, dunia akhirnya akan ada hanya empat raja – Raja Lekuk, Raja Kelawar, Raja Sepit dan Raja Deman. Amin. – 12 Mei, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen