Pengundian awal pilihan raya Thailand hari ini


Pusat undian ditutup jam 5 petang (waktu tempatan) dengan penjualan alkohol di seluruh Thailand diharamkan sehingga 6 petang. – Gambar AFP, 7 Mei, 2023.

RAKYAT Thailand mula beratur di bawah panas terik di luar kuil, pusat beli-belah dan sekolah hari ini untuk membuang undi bagi pengundian awal pada Ahad menjelang pilihan raya yang begitu dinantikan minggu depan.

Lebih dua juta pengundi berdaftar seluruh negara untuk pengundian awal sebelum hari undian sebenar 14 Mei depan, yang bakal menjadi pertembungan antara parti disokong tentera dengan gerakan pembangkang yang bangkit semula.

Populariti Perdana Menteri Prayut Chan-o-Cha yang mengambil alih kepimpinan dalam rampasan kuasa pada 2014 sebelum mengukuhkan kawalan dalam pilihan raya 2019 yang kontroversi kembali merosot dalam tinjauan pendapat di mana pengundi lebih memihak kepada parti pembangkang Pheu Thai dan Parti Move Forward yang lebih radikal.

Namun dengan sistem pilihan raya yang lebih memihak kepada parti disokong tentera, pencabar perlu menang besar untuk ada peluang membentuk kerajaan.

“Saya harap pilihan raya ini akan mengubah negara ke arah lebih baik,” kata pengundi Srisuda Wongsa-ad, 28 yang merupakan pekerja di sebuah pusat beli-belah.

Dia antara ratusan pengundi yang beratur di pusat membuang undi di Bangkok.

“Saya mengundi calon dan parti yang saya suka, yang boleh menjawab keperluan saya,” katanya sambil menambah mengundi awal lebih memudahkan untuknya.

Sementara di bandar lain, pusat beli-belah Royal Paragon Hall dibanjiri pengundi awal namun mereka dapat beratur dengan tenang sambil menikmati penyaman udara kompleks itu.

Meskipun pada awal pagi, suhu meningkat di seluruh ibu negara itu susulan Thailand dilanda gelombang haba sejak April malah suhu dijangka mencecah 39 darjah selsius.

Sebelum tengah hari tadi di luar Universiti Ramkhamhaeng, salah satu pusat membuang undi terbesar air disembur ke arah pengundi yang beratur susulan cuaca panas yang membahang.

Pusat undian ditutup jam 5 petang (waktu tempatan) dengan penjualan alkohol di seluruh Thailand diharamkan sehingga 6 petang.

Menurut polis kira-kira 3,000 pegawai digerakkan ke seluruh negara dan memberi amaran kepada penduduk untuk menjangkakan kesesakan lalu lintas yang lebih teruk di sekitar lokasi pengundian. – AFP, 7 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen