PM Thailand bubar parlimen


Perdsana Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha membubarkan parlimen negara itu pada hari Isnin.– Gambar AFP, 20 Mac, 2023.

PERDANA Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha membubarkan parlimen negara itu pada Isnin, menetapkan pilihan raya umum pada Mei ketika bekas pemimpin rampasan kuasa itu berusaha melanjutkan pemerintahan yang disokong tentera.

Pilihan raya kali ini bakjal menyaksikan bekas pemimpin tentera itu yang memegang kuasa pada 2014, akan menentang anak perempuan bekas PM Thaksin Shinawatra. 

Kumpulan pembangkang utama Pheu Thai, yang diketuai oleh Paetongtarn Shinawatra, mempunyai sokongan kuat namun perlembagaan junta Thailand 2017 akan menyukarkan parti itu untuk mendapatkan jawatan tertinggi.

Kenyataan dalam Warta Diraja rasmi yang diterbitkan pada Isnin mengumumkan pembubaran itu, dan Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengesahkan tarikh pilihan raya itu kemudian, yang mana ia berkemungkinan diadakan pada 7 atau 14 Mei. 

Pilihan raya itu adalah yang kedua sejak rampasan kuasa 2014 dan yang pertama sejak negara itu digegarkan oleh protes pro-demokrasi yang diketuai oleh belia besar-besaran di Bangkok pada 2020.

Kempen tidak rasmi telah dijalankan sejak beberapa minggu lalu yang mana kos sara hidup dan pemulihan perlahan kerajaan daripada wabak menjadi agenda utama.

Prayut yang berusia 68 tahun, yang mengukuhkan pemerintahannya dalam pilihan raya kontroversi pada 2019, telah menunjukkan pentadbiran panjang yang jarang berlaku dalam politik Thailand.

Namun dalam tinjauan pendapat yang diterbitkan Ahad mengenai siapa yang paling popular sebagai PM, Prayut ketinggalan di tempat ketiga dengan hanya lebih 15%—jauh di belakang pendahulu Paetongtarn pada 38%.

Dalam tinjauan yang sama terhadap 2,000 orang responden, yang dikendalikan oleh Institut Pentadbiran Pembangunan Kebangsaan, hampir 50% menyatakan mereka akan mengundi Pheu Thai, dengan parti Negara Thai Bersatu pimpinan Prayut sekitar 12%. – AFP, 20 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen