PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengundi awal dalam pilihan raya separuh penggal di pusat mengundi di negeri kelahirannya Delaware pada Sabtu, lapor Xinhua.
Pilihan raya itu akan diadakan pada 8 November dan kesemua 435 kerusi Dewan Perwakilan AS dan 35 daripada 100 kerusi Senat dipertandingkan.
Selain itu 39 pilihan raya gabenor negeri dan wilayah serta pilihan raya negeri dan tempatan lain turut akan dipertandingkan.
Lebih 20 juta orang telah mengundi setakat ini menurut data Projek Pilihan Raya AS.
Menurut analisis NBC News yang dikeluarkan awal bulan ini, sebanyak 71 peratus pengundi berpendapat AS menuju ke arah yang salah berbanding 20 peratus berkata ia berada di landasan yang betul
Sebanyak 81 peratus daripada Demokrat percaya agenda Parti Republikan menimbulkan ancaman dan jika tidak dihentikan ia akan memusnahkan Amerika.
Sementara itu, 79 peratus Republikan berpandangan sama mengenai agenda Parti Demokrat. – Bernama, 30 Oktober, 2022.
Komen