PRU15: Kerajaan timbang beri cuti sebelum hari mengundi


Menurut Ismail Sabri, pengumuman akan dibuat setelah penelitian dibuat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2022.

CADANGAN pemberian cuti khas sebelum hari pengundian bagi memudahkan pergerakan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dipertimbangkan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Bercakap dalam sidang media selepas program Kenduri Rakyat di Kampung Bohor Baharu, Kuala Bera hari ini, Ismail Sabri berkata cadangan itu pernah dibincangkan selepas pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lepas.

“Kita tunggu sahaja jika ada pengumuman daripada saya (cuti khas)…kita akan kaji. Sejak mula bubar, kita dah bincang perkara ini, cuma masa itu… Insya-Allah, tunggulah apa pengumuman yang penting, yang mungkin banyak lagi,” katanya.

Sebelum ini Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan mengisytiharkan 18 November sebagai cuti umum khas untuk memudahkan pergerakan rakyat Malaysia ke lokasi mengundi pada 19 November ini.

Presidennya Adnan Mat berkata walaupun tarikh mengundi jatuh pada hari Sabtu, cuti umum tambahan sehari lebih awal itu wajar diberikan memandangkan ramai rakyat Malaysia tidak mengundi di lokasi mereka bekerja. – Bernama, 8 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen