Permohonan semakan hukuman ‘Datin kejam’ didengar Rabu ini


Pada 15 Mac lepas, Mahkamah Sesyen itu mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan RM20,000 terhadap Rozita Mohamad Ali, 44, selepas wanita itu menukar pengakuan kepada bersalah setelah pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan terhadapnya dibacakan. – Gambar ihsan warga Facebook, 18 Mac, 2018.

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam menetapkan Rabu ini untuk mendengar permohonan semakan yang difailkan oleh Pejabat Peguam Negara terhadap hukuman bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan RM20,000 yang dikenakan ke atas seorang suri rumah bergelar Datin kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap pembantu rumah warga Indonesia, dua tahun lalu.

Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad berkata, permohonan semakan itu difailkan oleh pihaknya pagi tadi.

“Selain memfailkan rayuan pada hari sama keputusan itu dibuat (oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya), pihak kami juga telah failkan permohonan semakan pagi tadi kerana lazimnya rayuan akan lewat didengar.

“Ini menunjukkan kami serius menjaga kepentingan awam,” katanya ketika dihubungi Bernama di Shah Alam hari ini.

Pada 15 Mac lepas, Mahkamah Sesyen itu mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan RM20,000 terhadap Rozita Mohamad Ali, 44, selepas wanita itu menukar pengakuan kepada bersalah setelah pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan terhadapnya dibacakan.

Sehubungan keputusan hukuman itu, pengguna media sosial dan juga Migrant Care, sebuah pertubuhan yang melindungi hak pekerja migran Indonesia mendesak pemerintah Malaysia dan Indonesia serius dalam proses kehakiman yang dilalui tenaga kerja dari negara itu.

Pengguna media sosial turut melampiaskan rasa yang sama terhadap keputusan itu.

Malah, petisyen dalam talian turut diadakan yang bertujuan untuk menggesa agar Rozita dikenakan hukuman yang lebih tegas. Setakat ini petisyen itu telah mendatap hampir 56,000 tanda tangan. Matlamat yang ingin dicapai sebanyak 75,000. – Bernama, 19 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen